Friday, September 01, 2006

Bajet 2007 bajet ikat perut

Saya mengikuti dari awal sehingga akhir pembentangan Bajet 2007 oleh Menteri Kewangan yang juga PM sebentar tadi, taklah mengantuk dan tertidur sebagaimana beberapa anggota dean yang jelas kelihatan menerusi siaran langsung semua stesyen TV itu.

Saya tidak nampak banyak perkara baru atau yang menarik dari pembentangan kali ini kecuali:

Pemansuhan yuran peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM bermula tahun 2007 bagi semua sekolah kerajaan.

Kenaikkan duti ke 1 sen bagi setiap batang rokok

Kenaikan duti eksais arak yang kandungan alkoholnya melebihi 40 peratus (kenapa 40 peratus? Kenapa tidak 1% ke atas?) sebanyak RM5.00 seliter.

Yang lainnya biasa sahaja termasuklah:

Bonus satu bulan kepada semua kakitangan kerajaan yang berpendapatan lebih dari RM750 sebulan dan bonus dua bulan kepada mereka yang berpendapatan kurang dari itu.

Mengapa tidak diberikan dua bulan sahaja kepada semua kakitangan awam? Mereka ini tidak ada pendapatan sampingan, mereka ini terpkasa menanggung kos hidup yang serupa dengan rakan-rakan dari sektor swasta dan yang berniaga yang pendapatannya rata-rata jauh lebih baik dari yang di sektor awam.

Kita mahu berperang melawan rasuah, maka dalam hal itu kita perlu memastikan yang kakitangan awam kita hidup selesa dan tidak terdesak untuk menceburinya.

Saya bersimpati dengan warga pencen. Kerajaan cuma menjanjikan bayaran saguhati one off sebanyak RM400 untuk yang pencennya kurang dari RM550 dan RM200 untuk yang pencennya lebih dari itu. Saya yakin mereka ini lebih tertekan dengan kos yang semakin naik. Wang pencen itulah sahaja yang merupakan sumber pendapatan mereka. Malah ada yang terpaksa menampung anak-anak yang turut hidup susah dan melarat. Ini tidak termasuk kos rawatan dan kesihatan.

Kerajaan tidak menyebut langsung tentang rancangan untuk menurunkan harga minyak dan barangan serta perkhidmatan. Maka rakyat terpaksalah terus menanggung beban ini.

Begitu juga kerajaan seolah terus melindungi industri perjudian dan maksiat dengan tidak ada pengumuman kenaikkan cukai ke atas mereka yang terlibat. Makin maju dan kayalah Genting, Magnum, Sports Toto, Big Sweep dan pengusaha rumah urut dan kelab malam.

Ringkasnya Bajet ini bagi saya tidak menjanjikan apa-apa yang besar kecuali isyarat kepada rakyat untuk terus mengikat perut mereka.

No comments: