Monday, October 09, 2006

Shahrizat bawa dacing masuk ke masjid

Saya tidak kisah kiranya Shahrizat selaku ahli Parlimen Lembah Pantai mahu menggunakan masjid di kawasannya untuk bertemu rakyat atau mengagih-agihkan bantuan. Itu hak beliau selaku wakil rakyat sebagaimana sepatutnya ahli-ahli Parlimen dan DUN lain diberikan akses kepada tempat-tempat awam ini termasuklah wakil-wakil pembangkang.

Semalam beliau dilaporkan telah mengagih-agihkan bantuan kepada lebih 1,000 ibu-ibu tunggal dan anak-anak yatim disekitar kawasan parlimennya di Masjid Abu Bakar as Sidiq di Bangsar.


Ini bukan kanak-kanak yang dimaksudkan

Yang mengecewakan (bagi mereka yang sempat menonton berita di TV malam tadi) adalah anak-anak kecil tadi (yang saya kira masih bersekolah rendah atau menengah rendah) disyaratkan mengenakan lencana lambang dacing (BN) di dada masing-masing apabila menerima bantuan dari Shahrizat. Ini jelas kelihatan di kaca TV, dan bagi saya ini merupakan suatu penyalah-gunaan kuasa dan menyalah-gunakan anak-anak tadi untuk kepentingan politik.

Mana pergi para pegawai masjid yang sepatutnya menegur pihak penganjur, supaya tidak dibawa lambang parti masuk ke masjid, atau memang lambang dacing kini sudah dikecualikan oleh JAWI, dan boleh dipamirkan dalam masjid-masjid di Wilayah?

Baru kita dengar ura-ura yang pilihnaraya umum nak diadakan awal tetapi wakil-wakil BN terutama dari Umno sudah pun mula berkempen dan menjelmakan simbol masing-masing secara terbuka termasuklah ke dalam masjid sekalipun. Bayangkan bagaimana perangai mereka kiranya parlimen dah dibubarkan?!

No comments: