Monday, November 13, 2006

Gajah putih di Selangor

Sejak akhir-akhir ini Selangorr tidak sunyi-sunyi dari pelbagai skandal, gugur berderu-deru bagaikan durian dimusimnya.

MB Khir Toyo bagaikan PUNCHING BAG yang dilanyak tak henti-henti oleh akhbar-akhbar saluran perdana, seolah ada tangan hitam yang mengizinkan perkara-perkara ini didedahkan, tak tahulah.

Hari ini dalam sisipan akhbar THE STAR didedahkan pula berkenaan sebuah projek kerajaan negeri yang telah menelan belanja RM20 juta, yang semasa siapnya satu ketika dahulu pernah dipertikaikan oleh banyak pihak tetapi dipertahankan oleh MB.



Projek tersebut adalah komplek banglo anggota EXCO Selangor di Seksyen 7 Shah Alam. Komplek banglo ini lengkap dengan 10 biji banglo dua setengah tingkat lima bilik lengkap dengan perabot seluas 360 kaki persegi tiap-tiap satu, termasuk satu kolam renang dan sebuah rumah kelab yang dibina atas tanah seluas 2.6 hektar.

Tetapi kini komplek ini bagaikan projek GAJAH PUTIH, mengapa? Sebab cuma 4 buah rumah sahaja yang dihuni oleh anggota EXCO negeri, 3 lagi dihuni oleh kaum kerabat anggota EXCO berkenaan dan sebuah sekadar rumah persinggahan seorang EXCO.



Apa sudah jadi?

Sedangkan masa dibina dahulu MB menjelaskan dalam dewan bahawa tujuan komplek ini adalah untuk menghimpun kesmseua anggota EXCO Selangor di bawah satu bumbung bagi memudahkan mereka berjumpa, berbincang dan bermesyuarat apabila sahaja perlu.

Menurut maklumat idea membina komplek ini datangnya dari seorang anggota EXCO dari MIC iaitu K. Sivalingam yang mengambil idea dari apa yang diamalkan di negeri Tamil Nadu di India.

Akhbar tersebut melaporkan untuk mengisi kekosongan yang tidak dihuni sepenuhnya oleh anggota EXCO itu, para pegawai kanan kerajaan negeri dijemput untuk mengisinya. Kolam renang di komplek tersebut dimaklumkan tidak langsung digunakan manakala rumah kelabnya Cuma digunakan tiga kali sejak dua tahun ia disiapkan.

Rakyat dipaksa membayar purata RM2 juta bagi tiap-tiap satu banglo ini dan kini ianya tidak dimanfaatkan sepenuhnya, malah disalah-gunakan apabila kaum keluarga EXCO pula yang menjadi penghuninya. Menteri Besar perlu menjelaskan kepada rakyat mengapa perkara ini boleh berlaku sedangkan pada awalnya beliaulah yang beria-ia menyokong cadangan Sivalingam itu. Jelas Tamil Nadu bukannya Selangor dan kini berjuta-juta wang rakyat terbuang begitu sahaja.

Untuk rekod Selangorlah satu-satunya negeri yang menyediakan kemudahan semewah ini untuk ahli-ahli EXCO nya.

No comments: