Friday, November 03, 2006

Lagi kemungkaran Zakaria terbongkar

Sehingga hari ini manusia masih tidak boleh memikirkan bagaimana mahu menyembunyikan bangkai gajah. Kalau bangkai binatang lain hatta manusia sekalipun ada juga yang kita baca berjaya disorok-sorok dari pengetahuan ramai, tetapi si sang belalai, kalau dah mati, memang tiada siapa yang akan mampu menyembunyikannya.

Lalu akan merebaklah bau busuk yang pekat dan meloyakan, melekat di hidung siapa sahaja yang lalu-lalang.

Demikianlah halnya dengam bau busuk yang dibawa Ketua Umno bahagian Kelang, Zakaria Md Deros.

Rupa-rupanya nama GLAMOUR dahulu, semasa beliau Senator selama dua penggal adalah Zainal. Menurut laporan akhbar THE SUN hari ini si Zainal a.k.a Zakaria ini sebenarnya seorang yang muflis semasa menjawat jawatan Senator atau ahli dewan Negara (lantikkan kerajaan negeri Selangor).

Menurut kronologinya notis muflis atau bankruptcy telah difailkan terhadap beliau di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Januari 1990. Pada 11 Febuari 1990 Maxon Credit & Leasing melalui peguam mereka telah berjaya mengemukakan notis bankrap tadi terhadap Zakaria.

Samada kerajaan negeri tahu atau pun tidak, Zakaria dilantik melalui persetujuan Dewan Undangan Negeri sebagai Senator pada 30 Julai 1990. Kemudian kira-kira 2 tahun selepas itu iaitu pada 10 September 1992 (tempoh penggal seorang Senator adalah 3 tahun) Zakaria diisytiharkan bankrap oleh mahkamah yang sama.

Cuma 2 bulan kemudian iaitu pada 24 November 1992, Zakaria berjaya mengenepikan pengisytiharan itu setelah membayar tuntutan dengan kos sebanyak RM400,000.

Bermakna antara 10 September dan 24 November 1992 Zakaria tanpa memaklumkan pihak Dewan Negara sebenarnya telah gugur jawatannya sebagai Senator kerana Perkara 48(1)(b) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa seseorang yang muflis tidak layak menjawat jawatan tersebut.

Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi Negara dan begitu juga Parlimen (yang menempatkan dewan Negara dan dewan rakyat) merupakan badan penggubal undang-undang tertinggi Negara, oleh itu tidak hairanlah kalau selaku ahli majlis Zakaria selamba melanggar peraturan akta kerajaan tempatan kerana undang-undang tertinggi Negara pun beliau berani persetankan!

Siapakah yang perlu dipertanggungjawabkan dalam hal ini?

Zakaria menjadi Senator selama dua penggal (tempoh maksima perlantikkan seorang Senator) iaitu dari 30 Juali 1991 sehingga 31 Julai 1997. Dalam tempoh itu beliau telah muflis pada 10 September 1992, bermakna perlantikannya itu batal ketika itu. Ini juga bermakna dari tempoh itu sehingga 31 Julai 1997 Zakaria seorang Senator HARAM! Patut tak beliau kembalikan elaunnya sebagai Senator dalam tempuh itu? Dan bagaimana dengan pencennya yang diperolehi kini?

Kita sungguh sedih dengan perkembangan ini, dan pihak kerajaan perlu segera membuat penyiasatan dan heret siapa sahaja yang bertanggungjawab ke pengadilan termasuklah Zakaria sendiri jika terbukti beliau menyembunyikan fakta ini dari pengetahuan Dewan Negara dan kerajaan Persekutuans serta Negeri!

Nampaknya bahu busuk, hapak dan meloyakan ini akan terus berligar di udara melainkan kita bangun menyahkan puncanya. Tepuk dada tanyalah selera.

No comments: