Thursday, December 14, 2006

Korporat diselamatkan kakitangan awam bagaimana?

Semalam di Dewan Rakyat Timbalan Menteri di JPM Abd Rahman Suliman ketika menjawab soalan yang dibangkitkan oleh ahli dari Bera telah menyatakan bahawa kerajaan pusat telah membelanjakan sejumlah RM11 billion untuk mengambil-alih beberapa syarikat yang mempunyai masalah pengurusan dan kewangan.

Antara syarikta yang terlibat adalah:

Star LRT (RM3.256 billion)
Putra LRT (RM4.486 billion)
MAS (RM2.802 billion)
Lebuhraya Seremban – PD (RM142 juta)
Penjara Bandar Kuching (RM135 juta)
Sistem Pembentungan Negara (RM 193 juta)
Unit Kajian Melaksana dan Gunaan Orang Islam (RM8.3 juta)

Bermakna sebanyak RM 11 billion dari wang rakyat dibelanjakan untuk menyelamatkan syarikat-syarikat yang bermasalah ini. Mungkin kerajaan terpaksa melakukannya kerana ianya membabitkan industri yang kritikal dan untuk maslahah umum, namun ianya satu angka yang besar yang belum pasti akan dapat diperolehi kembali dalam waktu terdekat.

Dalam pada itu kita akan terus berbelanja untuk beberapa projek gergasi lagi yang entah apa nasib masadepannya kelak, termasuklah jambatan baru dan monorail di Pulau Pinang, serta keretapi laju KL-JB yang dijangka menelan belanja RM8 billion.

Kita bimbang memikirkan ini semua kerana dalam waktu yang sama kos hidup rakyat semakin sempit dan menyesakkan nafas. Ianya suatu hakikat yang tidak dapat dinafikan lantaran kenaikkan harga minyak yang diikuti dengan beberapa kenaikkan harga barangan dan perkhidmatan yang teruk menjejaskan kehidupan rakyat.

Dan terbaru kita dengar pihak CUEPACS menuntut agar kerajaan menyemak semula gaji kakitangan awam yang tidak naik-naik sejak 1992 (iaitu 14 tahun dahulu) sedangkan minyak, tol air, letrik dan pelbagai lagi barangan dan perkhidmatan telah terus menerus naik sepanjang tempoh tersebut.

Saya bersimpati dengan kakitangan awam walaupun tuntutan kenaikkan sebanyak 40 peratus yang mereka pohon itu akan mengakibatkan kerajaan terpaksa menambahkan perbelanjaan sebanyak RM6 billion tetapi jika ianya untuk membela kebajikan kakitangan awam yang rata-rata berbangsa Melayu itu, apa salahnya?

Takkanlah kita tidak segan-silu berbelanja RM300 juta untuk pesta gila-gila Monsoon Cup selama 5 hari di Kuala Terengganu tetapi tidak boleh berbelanja lebih untuk memastikan yang dapur kakitangan awam kita sempurna berasap. Takkanlah RM11 billion boleh kita labur (atau leburkan?) untuk menyelamatkan nyawa syarikat-syarikat korporat gergasi, tetapi tidak boleh berbelanja untuk memastikan kakitangan awam kita terus hidup.

Khabarnya TPM menyatakan bahwa pihak kerajaan akan menimbangkan permohonan CUEPACS itu. Mungkin pihak kerajaan akan menjadikan isu ini sebagai umpan politik dalam menghadapi pilihanraya umum yang dikatakan semakin dekat itu. Dalam hal ini kalau periuk nasi dan kebajikan rakyat pun mahu dipolitikkan, maka politkkanlah, asalkan anak-anak bangsa kita tidak merempat di bumi mereka sendiri. Insyallah yang benar tetap benar dan yang batil serta mungkar tetap batil dan mungkar.

No comments: