Thursday, January 11, 2007

Boikot bukan kerana takut

Ramai sudah maklum tentang keputusan parti-parti pembangkang memulaukan pilihanraya kecil DUN Batu Talam yang penamaan calonnya dijadualkan Selasa depan. Menurut PAS dan PKR boikot ini dibuat kerana tidak berpuas hati dengan ketelusan kerja-kerja pilihanraya yang dikendalikan oleh SPR.

Bagi orang Umno dan BN tentulah menganggap ini sebagai satu helah PAS dan parti-parti pembangkang. Takut kalah, kecut dan berbagai lagi. Tetapi saya difahamkan oleh seorang pemimpin kanan PAS yang juga bekas ahli Umno, kiranya keputusan tidak bertanding ini diambil Umno sebenarnya menangis di dalam hati. Ini kerana jika tiada pertandingan maka melepaslah mereka yang selalu meraih keuntungan dan kekayaan semasa tempoh berkempen ini.

Upah, elaun, peruntukkan ketua-ketua cawangan, wanita dan pemuda semua tak akan turun. Akibatnya lapar dan hampalah anak-anak buah termasuk pimpinan dipelbagai peringkat.

Balik kepada isu asal, benarkah PAS dan parti-parti pembangkang takut kalah? Sesungguhnya boikot ini adalah yang pertama dalam sejarah pilihanraya kecil di Malaysia dan ia pasti mencetuskan kesan yang besar terhadap imej negara.

Saya kira PAS dan parti-parti pembangkang lain tidak pernah takut kalah, mereka pernah bertanding dalam PR kecil yang peluang mereka terlalu tipis umpama di DUN Sanggang dan Ketari di Pahang sebelum ini, oleh itu isu takut memang tak timbul. Malah saya yakin pimpinan PAS terpaksa berhempas-pulas bagi meyakinkan ahli-ahli dan jentera mereka yang memang dikenali sentiasa bersedia bertanding walau apa keadaan sekali pun.

Boikot ini adalah serius kerana ia memababitkan kewibawaan institusi pengendali pilihanraya itu sendiri. Malah baru sahaja Pengerusi SPR sendiri mencadangkan agar distruktur semula SPR dan dirombak peraturan dan undang-undang pilihanraya yang telah lebih setengah abad itu.

Bagi saya yang sebenarnya takut adalah Umno dan BN sendiri. Kalau benar gagah dan tidak mungkin kalah-kalah, maka apa salahnya kita kembalikan kewibawaan SPR. Jangan negara sahaja mahu maju tetapi sistem pemilhan pimpinan negara dikendalikan dalam keadaan penuh kelompongan dan penipuan.

Saya difahamkan parti-parti pembangkang dan NGO akan mendedahkan penipuan dan penyelewengan SPR sehingga ke peringkat antarabangsa. Maka sudah tibalah masanya pencari Ghazali dan Shafie, agar mengembalikan keyakinan rakyat terhadap proses pilihanraya ini. Takkanlah disebabkan memulihkan proses pemilihan nanti akan mengakibatkan Umno dan BN tewas kecundang, atau memang akan terjadi begitu?

No comments: