Wednesday, January 03, 2007

Selangor sudah tidak selamat lagi

Beliau pernah merupakan seorang pegawai kanan Majlis Perbandaran Kelang MPK. Lebih tepat lagi Dr Nasruddin Aspan pernah menjawat jawatan Pengarah Kesihatan MPK. Tetapi hari ini tidak lagi.

Pada bulan lalu, pegawai ini telah meletakkan jawatannya, dan menurut akhbar hari ini perletakkan jawatan itu diterima oleh pihak MPK.

Pada 27 November tahun lalu, pada jam 730 malam sejurus selepas meninggalkan rumahnya di Taman Menegun Indah untuk bertugas, kereta MPV yang beliau pandu telah dilanggar oleh sebuah lori 1 tan. Tidak cukup dengan itu, tiga orang yang tidak dikenali telah turun dan menyerang beliau dengan parang dan batang besi.

Mereka telah memecahkan cermin keretanya dan menyerang beliau sehingga Dr Nasruddin terpaksa menerima lapan jahitan di kepalanya disamping luka-luka lain seluruh badan.

Kemudian sepuluh hari selepas kejadian tersebut Dr Nasruddin menerima panggilamn telefon mengancam beliau. Kata pemanggil sekiranya beliau enggan meletakkan jawatan, beliau akan dibunuh.

Oleh kerana tidak tahan lagi dengan ancaman-ancaman yang diterimanya, akhirnya beliau meletakkan jawatannya.

Mengapa beliau diserang? (Menurut THE STAR 28/11/06):

Beliau mengesyaki ianya mungkin kerana tindakkannya menggantung lessen atau menutup pusat-pusat hiburan (di kawasan MPK) yang menurut beliau hanyalah sebahagian dari tugasnya.

Sehari selepas Dr Nasruddin diserang pihak polis telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka sedang menjejaki pemilik sebuah kenderaan Proton Gen2 yang digunakan dalam insiden serangan tersebut. Suspek dikatakan berusia antara 22 ke 40 tahun.

Malah kata pihak polis lagi sebelum kejadian ini Dr Nasruddin pernah diekori dan pernah juga berjaya melepaskan diri dari dilanggar!

Saya begitu terperanjat membaca berita perletakkan jawatan Dr Nasruddin ini. Saya tidak mengenali beliau tetapi jika kerana menjalankan tugas beliau diancam dan diserang saya ingin mengucapkan syabas kepada beliau.

Bagi saya pegawai bertaraf Dr Nasruddin ini biasanya hanya akan diperlakukan demikian apabila usaha untuk membeli dan mengula-gulakannya gagal. Oleh itu isunya di sini, apa sudah jadi dengan pihak keselamatan kita? Kenapa kes ini tidak diberi keutamaan dan siasatan besar-besaran dilakukan. Apakah ada pihak-pihak tertentu yang cuba melindungi samseng dan mafia tertentu di Kelang?

Hairan mengapa pengarah dan pegawai kanan lain tidak diserang, cuma Dr ini seorang sahaja?

Sesungguhnya PBT di Kelang memang diragui ketelusan dan kebersihannya. Kes Zakaria Md Deros, DZ Satay House dan ahli-ahli majlis MPK yang tidak memohon kelulusan membikin banglo masing-masing adalah contoh betapa longgar dan huru-haramya pentadbiran MPK.

Dr Nasruddin berhak meletakkan jawatannya lantaran ancaman terhadap nyawanya, tetapi Kelang akan kehilangan seorang Pengarah yang berani dan berwibawa. Mungkin ada pihak dalam MPK yang akan bersorak dan menari dengan perletakkan jawatan ini, lebih-lebih lagi samseng-samseng besar di Kelang yang kononnya gagal dikenal-pasti pihak polis itu.

Negeri Maju apakah yang telah dicipta oleh Khir Toyo sehingga para pegawainya yang telus terpaksa lari meninggalkan jawatan masing-masing kerana diugut dan diancam.

Kes yang membabitkan Dr Nasruddin ini adalah sesuatu yang serius yang jika pihak polis Kelang atau Selangor tidak berupaya tangani, maka lebih baiklah pihak Bukit Aman mengambil-alih. Sementara itu pihak BPR wajar berkampung di MPK untuk melihat dakwaan Dr Nasruddin kerana pasti ada inside job sehingga berlakunya kes malang ini.

Dan kepada Menteri Besar Selangor yang kononnya mahu melahirkan masyarakat madani dan insan rabbani, semak kembalilah angan-angan anda itu.

No comments: