Friday, February 09, 2007

Malaysia cemerlang rakyat terus menderita

Akhirnya kerajaan meneruskan juga projek membina Pusat Sukan di Brickedonbury , Hertforsdshire, England kononnya untuk tujuan melatih ahli-ahli sukan negara dan sebagai pusat transit bagi sebarang jenis sukan luar negara.

Keperluan ini mendadak memandangkan prestasi luarbiasa Malaysia dalam SukanAsia di Doha baru-baru ini dimana negara berjaya merangkul 42 pingat.

Pusat itu nanti akan menyediakan kemudahan asrama, padang bola dan peralatan-peralatan sukan sebagai High Performance Training Centre atau Pusat Latihan Prestasi Tinggi Malaysia. Dan dalam hal ini kerajaan akan berbelanja 10 juta pound iaitu bersamaa RM70 juta.

Untuk makluman kita negara-negara lain juga banyak memenangi pingat di Doha antaranya Kazakhstan 85, Thailand 54 dan Iran 48, tetapi kita tidak pula mendengar negara-negara ini ghairha untuk membina pusat sukan seumpama ini di UK?

Siapa yang tidak mahu melihat negara cemerlang dibidang sukan terutama dalam sukan-sukan peringkat antarabangsa, namun dalam keadaan rakyat jelata menangggung kesengsaraan lantaran kenaikkan kos hidup yang mencacak, berbelanja RM70 juta itu rasanya terlalu mewah dan boros.

Dalam akhbar tempatan juga didedahkan hari ini betapa dagangan negara kini mencecah RM1 trillion, iaitu nilai dagangan yang tertinggi dalam sejarah Malaysia, kenaikan 10.5 peratus berbanding tahun sebelumnya, tetapi apakah reaksi rakyat kebanyakka?

Bagi pihak diri saya sendiri saya tidak nampak kemana perginya kemewahan negara kerana saya dan keluarga tetap menanggung bebanan kos hidup, petrol yang mahal, tol yang mahal, barangan dan perkhidmatan termasuklah terbaru perkhidmatan teksi, lalu saya tidak nampak mengapa saya harus bergembira dengan pencapaian ini?

Kami sekeluarga memaksa diri berjimat cermat, tetapi kerajaan dengan mudah menabur RM70 juta untuk tujuan sukan, sebelum ini RM30 juta untuk Eye on Malaysia dan sejumlah yang sama lagi untuk sambutan dan belanja bunga api dan stage shownya! Itu tidak lagi mengambil kira RM200 juta untuk Penerbangan Malaysia Berhad PMB membeli jet eksekutif baru A319 untuk kegunaan PM, bukan beli kata PM tapi disewa dari PMB (walaupun PMB itu sebagaimana pernah saya laporkan di sini dimiliki sepenuhnya oleh Khazanah Nasional yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan).

Mungkin ramai yang akan bergembira kerana mendapat Pusat Sukan baru di UK, Gelung Gergasi di Tasik Titiwangsa dan jet mewah A319 baru disamping terus menuang minyak dan membayar tol dengan harga tertinggi dalam sejarah, entahlah!?

No comments: