Tuesday, March 13, 2007

Hubungan DAP dan PAS:
Nasib dan masadepan rakyat dan negara lebih penting

PAS tidak ada kerjasama dengan DAP, demikianlah lebih kurang kenyataan Presiden PAS Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang semasa mengadakan sidang akhbar di Kuala Lumpur Ahad lepas. Namun kata Tuan Guru PAS sedia bekerjasama atas isu-isu kepentingan bersama khasnya berkenaan kebebasan dan kemanusiaan.

Sebelum ini Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat membuat kenyataan dari Kota Bharu bahawa tidak ada sebab DAP perlu tolak kerjasama dengan PAS dan bahawa PAS telah sedia menerima DAP sejak dulu lagi.

Kenyataan-kenyataan ini dibuat apabila DAP seklai lagi menyatakan bahawa mereka tidak bersedia bekerjasama dengan PAS melainkan PAS menggugurkan agenda Negara Islam nya. Walaubagaimanapun DAP pernah bekerjsama dengan PAS semasa sama-sama menganggotai gagasan barisan Alternatif daslam Pilihanraya Umum 1999 dahulu.


Bagi saya kesediaan PAS untuk menjalin kerjasama itu membuktikan besarnya jiwa pimpinan dan ahli-ahli PAS terhadap DAP walaupun parti itu diketahui tidak pernah senang dengan matlamat perjuangan PAS.

Sesungguhnya kesediaan parti-parti pembangkang untuk berdiri atas satu platform bagi menghadapi BN akan dilihat oleh para pengundi sebagai betapa seriusnya perjuangan pembangkang ini. Pembangkang yang berpecah dan menyerang pula antara satu sama lain akan mencetuskan ketidakyakinan para pengundi dan akhirnya akan mengakibatkan mereka terus memeluk BN walalupun mungkin mereka ada hasrat untuk melepaskan pelukan yang hamis itu.


Kalau dilihat secara jujur sebarang serangan oleh DAP terhadap PAS atau sebaliknya sebenarnya tidak langsung membawa manfaat kepada mana-mana pihak kecuali mangkin merenggangkan keyakinan rakyat kepada kedua-dua parti.

Kita sudah 50 tahun Merdeka, PAS dan DAP bukannya parti yang setahun jagung usianya, malah usia PAS melebihi usia kemerdekaan negara. Rakyat rata-rata sudah menerima kewujudan PAS dan DAP walaupun tidak semestinya menyokong kedua-dua parti. Masyarakat Cina dan bukan Melayu, tua dan muda sudah semuanya tahu akan dasar dan matlamat perjuangan PAS demikian juga masyarakat Melayu terhadap DAP.

Lalu kita tidak perlu menakut-nakutkan sesiapa pun berkenaan sesama kita sebagaimana kerja Umno yang menakut-nakutkan masyarakat Melayu terhadap DAP dengan melabelkan DAP sebagai pari chauvanis Cina dan malah ada yang melabel DAP sebagai kominis. Demikian juga MCA, MIC dan Gerakan yang melabelkan PAS sebagai sebuah parti ekstrimis ala Taliban yang akan mendiskriminasi masyarakat bukan Islam jika mereka berkuasa.

Ini semua propoganda jahat BN zaman berzaman malah sejak mereka melayari perahu layar PERIKATAN lagi.

Oleh itu bagi saya penting diperingkat ini bagi DAP dan PAS memfokuskan tumpuan mereka ke arah menyerang dan mengasak BN dan tidak sebaliknya.

Rakyat sudah tahu kewibawaan pemimpin-pemimpin DAP dalam memperjuangkan nasib rakyat. Lim Kit Siang, Karpal Singh, Dr Tan Seng Giaw dan lain-lain merupkan tokoh yang dikenali semua samada masyarakat Melayu atau lebih-lebih lagi bukan Melayu. Namun kita juga perlu menerima hakikat bahawa rakyat juga sudah mengenali Tuan Guru Hj Abd Hadi, Tuan Guru Nik Abd Aziz, Ustaz Nasharuddin, Husam Musa dan lain-lain termasuklah dikalangan masyarakat bukan Melayu.

Pemimpin-pemimpin PAS ini bukan hanya dilihat berwibawa malah telah membuktikan yang mereka apabila diberi kuasa contohnya di Terengganu (satu ketika dahulu) dan kini Kelantan mampu menyaingi malah lebih baik dari Umno khasnya dari sudut keiikhlasan, ketelusan, tidak korap dan sangat mementingkan nasib dan kebajikan rakyat.

Oleh yang demikian saya merasakan memang sukar bagi DAP dan PAS diperingkat ini untuk duduk atas satu pentas seperti dahulu, mungkin DAP masih bimbang yang sebarang kerjasama akan mengakibatkan pengundi Cina menghukum mereka Akan tetapi walaupun demikian tidak mustahil untuk mereka bersetuju untuk tidak sekurang-kurangnya menyerang satu sama lain, yang akan hanya menguntungkan BN.

Walaupun kita tahu diperingkat akar umbi pimpinan dan ahli-ahli PAS dan DAP begitu senang bekerjasama dan berbincang. (Saya masih ingat dalam PRU 1999 apabila Almarhum Ustaz Fadzil mengeluarkan kenyataan bahawa jika dimana-mana peringkat DAP tidak mempunyai bilik operasi dan gerakanmaka markas-markas PAS perlu ditawarkan sebagai bilik gerakan DAP). Ada pemimpin DAP diperingkat akar-umbi begitu selesa bekerjasama dengan ahli-ahli dan pimpinan PAS dan hubungan ini kekal mesra sehingga hari ini.

Sebab pada dasarnya DAP tidak akan bertanding di kerusi-kerusi yang PAS tandingi dan demikian juga PAS (kecuali dikerusi-kerusi tertentu sahaja, itupun atas strategi tertentu). PAS tidak akan meletakkan calon di Kepong atau Bukit Bintang sebagaimana DAP tidak akan memikul risiko dan bertanding di Pengkalan Chepa atau Marang.

Atas faktor-faktor di atas saya tidak nampak mengapa perlu ada pertembungan antara DAP dan PAS. Dengan gendang pilihanraya yang seakan sudah mula dipalu, eloklah semua kita berlapang dada dan memberikan tumpuan kepada yang lebih penting iaitu untuk memperjuangkan nasib, kebajikan dan masadepan rakyat yang semakin tidak menentu di bawah BN. Jika DAP hanya selesa bekerjasama dengan PKR maka biarkanlah. PAS juga akan kekal duduk bersama PKR dalam BA. PAS dan DAP tidak ada perjanjian kerjasama tetapi PAS dan DAP jangan pula bertikam sesama sendiri dikhalayak ramai.

DAP tidak senang dengan konsep Negara Islam PAS, itu hak mereka malah pimpinan Umno pun demikian juga sedangkan mereka semuanya Islam!

Sebagaimana kata Tuan Guru Presiden PAS, hak memperjuangkan konsep ini adalah hak demokratik PAS dan ia perlu dihormati. Kita boleh bertukar-tukar pandangan dan berbahas berkenaannya tetapi tidak perlulah kita menyerang dasar perjuangan parti yang telah wujud sejak sebelum Merdeka itu lagi.

Lihatlah apa yang berlaku di Kelantan sebagaimana kata Tuan Guru Mursyidul Am PAS sebagai contoh betapa adil dan saksamanya sebuah negari yang diperintah oleh PAS khasnya berkenaan kedudukan masyarakat minoriti bukan Islam nya.

Akhirnya saya yakin rakyat Malaysia dari semua agama dan keturunan sedang menanti-nantikan tarikh pilihanraya kerana mereka masing-masing mahu menghirup udara baru, yang kini semakin tercemar dan kotor di bawah BN. Jangan kita bunuh harapan mereka itu. Berdirilah bersama-sama membela dan memperjuangkan mereka, say NO to BN!

No comments: