Thursday, March 29, 2007

Jangan bakar api ketegangan kaum dan agama

Pada 13 Mac lepas Mahkamah Rayuan telah menolak rayuan R. Subashini seorang Hindu dengan memutuskan bahawa Mahkamah Sivil tidak boleh menghalang suaminya Muhammad Shafi Saravanan yang telah memeluk agama Islam daripada pergi ke Mahkamah Syariah untuk membubarkan perkahwinannya dan mendapatkan hak penjagaan ke atas anak-anak mereka.

Semasa menolak rayuan Subashini, mahkamah juga memutuskan bahawa walaupun Subashini bukan seorang isteri beragama Islam, beliau boleh pergi ke Mahkamah Syariah untuk mendapatkan hak penjagaan anaknya yang diperoleh suaminya.Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Suriyadi Halim Omar dan Hakim Hasan Lah menolak rayuan itu manakala Hakim Gopal Sri Ram memberikan penghakiman bertentangan.

Itu keputusan Mahkamah rayuan, dan menurut amalan kita sebarang kritikan atau cabaran ke atas peghakiman tersebut dikira satu penghinaan ke atas mahkamah (an act of contempt). Walaupun kita mungkin tidak bersetuju dengannya namun sebagai seorang warganegara yang berpegang teguh kepada amalan Rukunegara kita sewajarnya menghormati keputusan itu.





Sejak kebelakangan ini kita perhatikan dalam kes ini banyak pihak, individu, kumpulan termasuklah seorang Menteri Pusat secara terang-terangan menyatakan bantahan terhadap keputusan ini. Dalam akhbar THE SUN di mukadepannya Menteri di JPM Datuk Bernard Dompok dilaporkan berkata:

It unreasonable. Non Muslims should not submit to Syariah Court.
Ianya tidak patut. Seorang bukan Islam tidak harus tunduk kepada Mahkamah Syariah.

Yang memeranjatkan Dompok bukan sekadar menyatakan bantahnnya itu secara terbuka malah turut mengungkit kembali isu 10 orang Menteri Pusat yang pernah menyerahkan memorandum kepada Perdana Mneteri satu ketika dahulu memohon semakan semula ke atas peruntukkan perlembagaan berhubung hak bukan Islam ekoran kes kontroversial Allahyarham Sarjan Moorthy.

Kita difahamkan semua menteri berkenaan akhirnya telah menarik balik memorandum mereka itu atas nasihat PM (kerana tidak pernah dalam sejarah malaysia Merdeka menteri-menteri bukan Islam bertindak secara kolektif begitu). Rupa-rupanya Dompok dengan tegas menyatakan bahawa beliau terkecuali.

Akhbar berkenaan dengan jelas melaporkan:

Except for Dompok the others later withdrew the memorandum
Melainkan Dompok yang lainnya (menteri-menteri berkenaan) telah menarik balik memorandum tersebut.

Kata Dompok:

As a matter of principle I stand by it
Dari segi prinsipnya saya berdiri teguh padanya

Saya kira sikap mencabar dan menghina mahkamah seumpama ini perlu dihentikan serta-merta. Ia nanti akan hanya mencetuskan pergeseran sesama rakyat Malaysia dan akan mengundang ketegangan yang hanya akan merugikan semua pihak. Contohnya apa maksud Presiden Majlis Perundingan Buddhism, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao iaitu Datuk Chee Peck Kiat apabila beliau mencela salah seorang hakim Mahkamah berkenaan iaitu Datuk Suriyadi Halim Omar kerana telah memetik ayat-ayat al Quran dalam menyampaikan hujah kehakimannya.

Kalau beliau mengambil masa mengkaji penghakiman hakim-hakim di negara ini sejak zaman penjajahan lagi beliau akan dapati bukan hanya al Quran malah ayat-ayat dari Bible pun pernah dipetik oleh hakim, mengapa dalam hal ini beliau mensasarkan ketidakpuasan hatinya terhadap al Quran?

Dan lebih-lebih lagi sikap Dompok jelas menunjukkan yang beliau tidak tunduk pada nasihat Perdana Menteri untuk menarik balik memorandum itu, malah dengan bangga membangkitkan kembali isu ini dan secara terang-terangan mencabar keputusan mahkamah.

Apabila kita mendiamkan diri, maka akan lebih ramailah pihak yang akan bersuara dan akhirnya mencetuskan suasana tegang seolah negara ini berada dalam anarki.

Saya merayu semua pihak agar menghormati keputusan mahkamah kerana itulah yang kita dididik kepada semua warganegara kita. Mengkritik secara terbuka seumpama ini akan hanya mengundang ketidakpuasan hati pihak lain dan akhirnya yang rugi adalah kita semua. Dompok dan kuncu-kuncunya boleh memilih untuk tidak bersetuju tetapi beliau perlulah menggembeling kuasa politik bagi membuat perubahan dan meminda apa sahaja peruntukkan yang ada yang telah digunakan untuk menurunkan penghakiman ini.

Dompok, Datuk Chee, WAO (Womens Aid Organaisation), beberapa kumpulan Gereja yang tertentu bolehlah bergabung tenaga membentuk kekuatan politik untuk mendapat mandat rakyat, itulah saluran yang terhormat, jika tidak, lebih baik terima sahaja keputusan ini dan jangan menjadi dalang membakar api ketegangan antara kaum dan agama.

No comments: