Monday, May 21, 2007

Kakitangan awam memang layak menerima kenaikan gaji

Menurut UTUSAN MALAYSIA Perdana Menteri Dollah Badawi dijangka mengumumkan kadar kenaikan gaji untuk kakitangan awam sempena Perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam di Putrajaya hari ini.

CUEPACS dalam satu memorandum kepada PM baru-baru ini menuntut kerajaan membuat semakan gaji dengan kenaikan antara 20 dan 40 peratus. Kongres itu mencadangkan kenaikan gaji 40 peratus untuk kumpulan sokongan II (Gred 1-16) yang merupakan jawatan terendah dalam sektor awam, manakala kumpulan sokongan I (Gred 17-26 dan Gred 27-40) pula menikmati kenaikan sebanyak 30 peratus.

Bagi kumpulan pengurusan dan profesional (Gred 41-54), CUEPACS mencadangkan mereka diberi kenaikan gaji sebanyak 20 peratus manakala para penjawat Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) diberi kenaikan gaji sebanyak 10 peratus.

Menurut rekod, kali terakhir semakan gaji kakitangan awam dilakukan ialah pada 1992 dengan kenaikan gaji sebanyak lapan peratus manakala kali terakhir penyelarasan gaji sektor awam dibuat pada 2000.

Dengan mencacak naiknya kos hidup pada hari ini ekoran kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang timpa-menimpa, memang sesuai sangatlah kerajaan menimbang dan meluluskan permohonan kakitangan awam ini. Malah belum pun pengumuman ini dibuat minggu lepas kita telah melihat beberapa jenis barangan termasuklah tepung gandum, beras, susu pekat manis dan lain-lain telah pun naik harganya.

Kegagalan membela nasib kakitangan awam ini nanti akan mengakibatkan lahirnya kecenderungan untuk melakukan rasuah dan penyelewengan akibat kehimpitan hidup yang tiada jalan keluar. Sekarang ini pun kita lihat sebahagian besar dari warga kakitangan awam ini terpaksa melakukan kerja sambilan dan berniaga kecil-kecilan untuk menampung kehidupan keluarga terutama yang berkerja di kawasan-kawasan bandar.

Tidakkah ini menjejaskan produktiviti, tetapi siapa yang harus disalahkan kiranya mereka terpaksa melakukannya juga kerana tuntutan kehidupan yang mendesak!

Mudah-mudahan kenaikan ini jika berlaku akan mendorong seluruh warga kakitangan awam untuk bekerja lebih kuat lagi dengan mengamalkan etika yang bersih dan cemerlang tanpa terlibat dalam sebarang bentuk rasuah dan penyelewengan, tunduk dan patuh kepada ketentuan agama setiap masa.

Jika ada pengumuman ini hari ini, kepada rakan-rakan dari parti pembangkang, bersiap-sedialah kerana ini isyarat gendang pilihanraya umum telah mula dipalu dan mungkin kemuncaknya selepas sambutan 50 tahun Merdeka nanti, jumpa anda di bilik membuang undi.

No comments: