Tuesday, May 08, 2007

Pemilihan PAS: Islam lebih penting dari kalian semua!

Wartawan Joceline Tan dari The Star hari ini memilih untuk mengulas isu berkenaan pemilihan pucuk pimpinan tertinggi PAS yang dijangka diadakan dalam Muktamar Tahunan parti tersebut bermula 1 Jun ini di Kota Bharu.

Beliau menulis di bawah tajuk

Battle Royal looms in PAS
Challenge likely for Deputy Presidents post

Menurut maklumat beliau Muktamar kali in akan melihat jawatan nombor dua parti sekali lagi menyaksikan pertandingan sengit. Kalau dahulu berlaku pertandingan tiga penjuru antara Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Ustaz Hassan Shukri dan Ustaz Dato Abd Halim Abd Rahman, kali ini menurut beliau Timbalan Presiden Ustaz Nasharuddin, 46 tahun dijangka dicabar oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat YB Ustaz Dato Harun Taib, 64 tahun.

Menurut laporan Joceline, Ustaz Harun menerima pencalonan untuk Timbalan Presiden dari hampir separuh dari 15 kawasan PAS di Kedah. Dan selebihnya datang dari beberapa kawasan di Kelantan, Pahang, Pulau Pinang dan Melaka.

Beliau menurut laporannya telah bertanya mengenai perkembangan ini dari Pesuruhjaya Kedah YB Ustaz Azizan Abd Razak yang menyatakan bahawa kawasan-kawasan PAS bebas mencalonkan sesiapa sahaja yang mereka mahukan. Malah kata Azizan jawatan Timbalan Presiden itu penting kerana ianya akan menentukan siapakah yang bakal mengambil-alih teraju parti.

Manakala Ustaz Nasharuddin pula ketika dihubungi mengesahkan yang beliau akan mempertahankan jawatannya dan berkata perkembangan ini adalah merupakan sebahagian dari amalan demokrasi yang dipraktikkan oleh PAS.

Memang PAS sejak dahulu lagi mengamalkan demokrasi di dalam parti. Almarhum Dr Burhanuddin al Helmy terpaksa bertembung dengan Almarhum Prof Zulkiflee Mohammad untuk jawatan tertinggi parti itu pada tahun 1956, sebelum memenanginya. Dan pada tahun 1959 sekali lagi dicabar oleh Zulkiflee dan berjaya mempertahankannya. Namun selepas kedua-dua pemilihan Zulkiflee telah terbit sebagai orang nombor dua Burhanuddin yang paling setia.

Lalu saya merasakan jika benar ada yang mahu mencabar Ustaz Nasharuddin untuk jawatan Timbalan maka sewajarnya ia berhak sebagaimana berhak juga kawasan-kawasan terutama dari Kedah untuk mencalonkan Ustaz Harun sebagaimana dilaporkan Joceline.

Soal seterusnya adalah apakah Ustaz Harun akan menerima pencalonan itu? Sebagai seorang yang penuh berpengalaman (saya kenal Ustaz Harun kerana pernah berkhidmat di bawah beliau satu ketika dahulu) dan menyandang jawatan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat pula, saya yakin Ustaz Harun tidak mudah dipengaruhi oleh sentimen atau oleh mana-mana pihak.

Memang terdapat beberapa individu yang kelihatan bersungguh menjelajah serata negeri untuk melobi jawatan-jawatan tertentu, dan mengenal-pasti pula pula siapa yang patut digugur dan dinaikkan, PAS mungkin parti Islam tetapi ahlinya bukanlah malaikat. (Kerana itu penting PAS berpegang pada amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan menolak amalan yang tidak sesuai dengan waqi’ kita)

Namun kerana PAS bukan umpama parti sekular yang lain, apalagi seperti Umno, maka kesungguhan segelintir kecil ini biasanya akan dipandang dingin dan sepi oleh sebahagian besar perwakilan yang merupakan golongan terakhir yang akan menentukan halatuju parti. Dalam PAS tiada politik wang dan tiada jual-beli jawatan sebagaimana contohnya dalam Umno untuk memudahkan agenda mereka yang tidak ikhlas.

Tambahan negara pula sedang diambang menghadapi Pilihanraya Umum. Bagi PAS pilihanraya umum ini penting kerana Kelantan perlu dipertahankan, manakala Terengganu perlu dirampas kembali. PAS perlukan lonjakkan terhadap imejnya dipersada politik dan kegagalan memenengai kerusi yang meyakinkan apalagi mempertahankan Kelantan akan menenggelamkan kekuatan parti itu secara total dari arus perdana politik tanahair.

Tidak seperti Umno (dan terbaru DAP), PAS tidak menangguhkan pemilihannya kali ini, dalam erti kata lain membuktikan kesuburan demokrasi dalam parti dan kukuhnya perpaduan ahli-ahlinya walaupun akan menghadapi Pilihanraya Umum.

Saya tidak dapat meramalkan apakah kesudahan percaturan politik peringkat tertinggi parti ini, tetapi sebagai pencinta Islam dan perjuangannya saya menyeru semua pihak agar meletakkan kepentingan jemaah mengatasi kepentingan peribadi. Jangan kerana marah maka kita bertelagah, jangan kerana iri hati maka kita memutuskan sesuatu yang tidak wajar. Islam lebih penting dari kalian semua!

Islam perlu menang, wadahnya adalah PAS, dan pemacunya adalah pimpinan parti tersebut. Jangan nanti kerana kesilapan kita membuat pertimbangan akhirnya yang rugi adalah Islam dan masa depannya.

No comments: