Tuesday, June 19, 2007

KJ bakal MB Negeri Sembilan?

Sebuah artikel di Malaysiakini menggambarkan seramai 7 orang MB akan mengosongkan kerusi masing-masing pada Pilihanraya Umum yang akan datang. Ada beberapa yang dikatakan akan dipanggil ke Pusat termasuklah Khir Toyo, Adnan Yaakub, Mahdzir Khalid dan Mohamad Hassan (MB NS). Selebihnya dikatakan akan digugurkan iaitu Shahidan Kasim, Tajol Rosli dan Ghani Othman.

Perubahan ini dikatakan ekoran penilaian Presiden Umno terhadap prestasi masing-masing pemimpin termasuklah manfaat mereka kepada kelangsungan politik Dollah. Khir Toyo contohnya dikatakan berkrisis dengan menantu Dollah iaitu Khairy Jamaluddin. Dan beliau memang berada dalam senarai hitam Dollah sekian lama atas sebab-sebab tertentu. Mungkin Khir akan diberikan kerusi kabinet, mungkin juga jadi Timbalan Menteri seperti Ramli Ngah Talib dulu atau lebih parah lagi sekadar Setiausaha Parlimen sebagaimana terjadi kepada bekas KM Melaka satu ketika dahulu.


Lanjutan dari artikel berkenaan saya mendapat maklumat sebenarnya perubahan besar ini lebih merupakan pembukaan laluan buat menantu Dollah bagi memasuki gelanggang politik perdana negara. Menurut maklumat itu mereka yang di keliling Dollah merasakan telah tiba masanya untuk Khairy dilonjakkan ke atas bagi memain peranan yang boleh mengukuhkan kedudukan politik Dollah dan menjamin masadepan politiknya sendiri.

Lonjakkan tersebut mestilah sekuat-kuat lonjakkan agar peranan yang dapat dimainkan Khairy nanti cukup bermakna dan berkesan.

Ini bermakna Khairy nanti bukan sekadar akan dinobatkan sebagai seorang ahli parlimen atau ADUN, bukan sekadar menjadi seorang Setiausaha Parlimen atau Timbalan Menteri. Status Khairy nanti mestilah setanding dengan pimpinan kanan Umno.

Untuk itu adalah diyakini Khairy akan bertanding sebuah kerusi ADUN Negeri Sembilan dan terus dinobatkan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang baru, manakala Mohamad Hassan (seorang yang rapat dengan Khairy) akan memegang kerusi kanan di dalam kabinet.

Tidakkah pada usia 31 tahun Khairy nanti dikira terlalu muda?

Sebenarnya jika anda anak atau menantu PM atau bekas PM segalanya istimewa belaka. Bukankah Najib Tun Razak diangkat sebagai MB Pahang pada bulan Mei 1982 ketika usia beliau 29 tahun.Jika Najib boleh mengapa Khairy tidak boleh sedangkan Khairy adalah menantu PM manakala Najib ketika itu bukan lagi anak PM (kerana Tun Razak telah meninggal dunia)

Sebagai MB nanti Khairy akan otomatik berperanan dalam Majlis Tertinggi Umno. Beliau duduk setanding dengan YAB PM dan TPM dan MB-MB serta KM-KM yang semuanya bergelar YAB. (Kerana itulah pemilihan MT Umno perlu ditangguhkans ehingga selepas pilihanraya umum)

Ketika itu pengaruh Dollah dan sekaligus pengaruh Khairy akan semakin kukuh. Ketika itu juga mereka yang dikeliling-kelalang Khairy akan semakin menonjol terutama Azeez Ketua Putera Umno yang jika tidak silap boleh pula di bawa ke Kedah untuk menjadi MB yang baru!

Demikianlah sifir dan sepak terjang politikDollah dan keluarga. Dengan Khairy mempunyai kedudukan sedemikian sebarang cita-cita Najib dan kumpulannya untuk mencabar Dollah akan segera ditangani. Keupayaan mereka akan semakin terkawal dan dengan itu Dollah dapat duduk tenang di takhtanya kerana menantu dan kawan-kawan menantunya nanti akan bersiap-siaga berhaapan dan menetang sebarang kemungkinan.

Najib dan sepupunya Hishamuddin memang dilihat berpotensi mencabar kedudukan Dollah dan sekaligus Khairy yang masih dianggap berhingus dalam politik itu. Lantas tidak ada cara lain menanganinya melainkan Khairy dinobatkan sebagai YAB MB Negeri Sembilan yang baru.

No comments: