Thursday, June 28, 2007

Mari lahirkan bangsa Malaysia tanpa 1234

Dalam satu forum anjuran NGO belia Youth for Change (Y4C) bertajuk Re thinking Malaysia: Media and Civil Society, Blogger terkenal Jeff Ooi, salah seorang ahli panel mencadangkan sekiranya kita mahu melahirkan sebuah negara yang benar-benar cemerlang kita perlu melahirkan sebuah Malaysia yang BUTA WARNA (color blind) dan menghapuskan Malaysia 1234

Malaysia 1234 di sini bermaksud menghapuskan pengkelasan mengikuti kaum (1: Melayu, 2: Cina, 3:India dan 4:lain-lain).

Sesungguhnya cadangan Jeff ini sesuatu yang berani, tetapi mampukah ianya dilaksana dalam realiti yang ada pada hari ini?

Kalau kita mahu menghapuskan Malaysia 1234 bermakna kita perlu juga menghapuskan parti 123, iaitu Umno, MCA dan MIC yang ketiga-tiganya merupakan parti perkauman mengikut segmen bangsa masing-masing.

Dahulu kita telah menghapuskan sekolah Melayu, kini tinggal sekolah kebangsaan, maka atas semangat Jeff juga kita perlu hapuskan sekali sekolah 12, iaitu sekolah jenis kebangsaan Cina dan sekolah jenis kebangsaan Tamil. Semuanya kita jadikan satu iaitu sekolah kebangsaan!

Kata Jeff inilah jalan untuk membina Bangsa Malaysia. Baik jika kita semua merintis ke arah jalan yang sama bermkana juga kita perlu hapuskan bahasa-bahasa lain selain Bahasa Malaysia. Bahasa-bahasa ibunda Mandarin dan Tamil, tidak lagi konsisten dengan perkembangan ini, ayuh kita berpegang kepada satu bahasa sahaja iaitu Bahasa Malaysia. Demikianlah juga dengan pakaian kebangsaan. Cheong sam dan sari bukan pakaian kebangsaan tetapi pakaian dari Negara India dan Cina. Oleh itu semua kita nanti perlu mengenakan pakaian kebangsaan ini untuk semua aturcara resmi.

Memang cantik jika kita semua mampu berdiri atas puncak yang satu dengan satu jiwa dan satu matlamat. Tetapi apakah ini mampu terlaksana setelah 50 tahun kita Merdeka ini?

Saya kira ia mustahil dilakukan, malah orang Melayu, Cina dan India akan terus dengan identiti masing-masing yang jelas membezakan antara mereka. Lantas Bangsa Malaysia akan menjadi suatu impian yang tidak praktikal dan mustahil dilahirkan. Saya menghormati pandangan Jeff tetapi dalam hal ini saya merasakan ianya tidak berpijak pada bumi nayata dan sukar untuk dicapai.

No comments: