Wednesday, July 04, 2007

Jenerasi baru dalam PAS dan Umno

Program Debat Perdana di RTM 1 semalam bagi saya berjaya menyerlahkan style dan kemampuan kepimpinan dalam dua buah parti politik Melayu terbesar dalam Negara iaitu PAS dan Umno. Cuma susunan panelisnya sahaja seperti biasa memberikan handicap kepada PAS (isitlah handicap dalam permainan golf ini digunakan oleh Mukhriz dan disambung pakai oleh Dr Dzul) ditambah dengan moderator tersohor pro Umno Dato Johan Jaafar.

Panelis malam tadi terdiri daripada Dato Mukhriz Tun Dr Mahathir (EXCO Pemuda Umno), Dr Dzulkifli Ahmad (AJK PAS Pusat/Pengerusi Pusat Penyelidikan PAS) dan ahli Parlimen Muar YB Dato Razali Ibrahim. Tajuk debat adalah: Semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) teras pembinaan bangsa Malaysia.

Saya melihat ketiga-tiga ahli panel memperakui bahawa affirmative action yang cuba dibawa oleh DEB untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat itu merupakan satu usaha dan idea yang baik. Dan sudah pastilah ahli Parlimen Muar, Dato Razali Ibrahim yang paling kuat mempertahankannya. Tindakan tersebut terpaksa dilakukan dan kita mudah memahaminya jika kita menyongsong kembali melihat suasana dan realiti maysrakat dan politik ketika itu.


Cuma masalahnya sebagaimana dihujahkan oleh Dr Dzul dan diperakui oleh Mukhriz dan dalam bab-bab tertentu juga oleh YB Muar bahawa perlaksanaannya kurang baik, mengakibatkan ia menjadi kurang berjaya. Kelahiran masyaraklat Ali Baba contohnya sebagaimana yang dihujahkan oleh Mukhriz merupakan salah satu penyumbang kearah kegagalan dasar ini.

Kita perlu melahirkan sesuatu dasar yang baru, apa sahaja namanya, dengan matlamat yang sama tetapi lebih penting lagi nanti akan berjaya mencapai cita-cita dan maksudnya kerana realitinya hari ini masalah yang cuba ditangani oleh DEB masih berdarah dan belum mampu dirawat pulih lagi.

Sementara itu ramai yang tidak pernah mendengar hujah dari juruselidik PAS ini buat pertama kali semalam mendengar hujah-hujah Dr Dzul, dan saya yakin ramai sahabat-sahabat yang bukan PAS khasnya dari Umno dan bukan berparti akan terpesona dengan penguasaan ilmu dan fakta tokoh PAS yang kepakarannya sebenarnya di bidang KERACUNAN!

Inilah modal insan yang berjaya dilahirkan oleh PAS, dan jangan risau ramai lagi yang seumpama kredibilit beliau berada dalam parti ini.

Dr Dzul dengan mudah berhujah menggunakan buku-buku dan penulisan semasa khasnya yang dihasilkan oleh karyawan Barat (sesuatu yang janggal bagi para pengkritik PAS) dan dalam waktu yang sama mengungkapkan hujah-hujan nas al Quran dan Hadis. Sedangkan hujah-hujah panelis yang lain agak mendatar dan bila tiba giliran YB Muar, ianya adalah stereotype yang biasa didengar dari wakil-wakil kerajaan dalam debat-debat sebelum ini.

Saya juga melihat sesungguhnya pimpinan kedua-dua parti ini yang ditonjolkan malam tadi khasnya Mukhriz dan Dr Dzul yang berhujah tanpa emosi tetapi terbuka dan menepati tajuk, mencerminkan inilah style kepimpinan yang akan kita lihat dari Umno dan PAS dewasa nanti.

Kita tidak mahu lagi berhujah dengan emosi, singgung-menyinggung dan cocok-mencocok. Kita mahu melahirkan masyarakat Melayu/Islam yang membuat pilihan antara kedua parti terbesar mereka ini juga berdasarkan keyakinan dan hujah pimpinan mereka masing-masing. Tidak perlu lagi sogok-menyogok atau beli-membeli, kembalikan maruah dan harga diri bangsa tersohor di rantau ini dan agama yang paling mulia ini.

Semoga apa yang dilihat dari kecergasan Mukhriz dan Dr Dzul semalam akan memberikan masadepan yang baik kepada politik Negara khasnya yang melibatkan masyarakat Melayu/Islam.

Biarlah nanti kita pilih hnaya pemimpin yang terbaik, yang ikhlas, yang bersih, yang bertaqwa dan mampu mewakili kita dengan sebaik-baiknya, dalam ertikata lain membela dan mepertahankan nasib dan hak kita dan seluruhmasyarakat Malaysia.

Syabas Dr Dzul, kami tumpang bangga dengan pencapaian anda.

No comments: