Friday, August 24, 2007

Mampukah kita pertahankan maruah agama dan bangsa?

Saya dimaklumkan oleh seorang rakan dari Sabah bahawa ucapan alu-aluan Presiden UPKO Datuk Bernard Giluk Dompok pada 11 Ogos lalu di Kota Kinabalu, di hadapan PM Dollah Badawi semasa Konvensyen UPKO sungguh berani dan lantang. Saya cuba untuk mendapatkan teks penuhnya, kini ia dimuatkan dalam laman web parti tersebut.

Kalau dilihat secara kasar, memang Dompok merupakan satu-satunya Menteri Kabinet yang berani menegur dan menyatakan pendiriannya secara terbuka walaupun berlawanan dan bertentangan dengan hasrat puck-pimpinan BN. Dengan keyakinan bahwa beliau mewakili masyarakat Kadazandusun Murut, yang bukan Melayu dan majoritinya bukan Islam, Dompok terpaksa muncuk sebagai juara kerana beliau bersaing dengan banyak lagi parti ethnik di Sabah terutamanya PBS yang diketuai Pairin Kitingan.


Di hadapan Dollah baru-baru ini Dompok telah membawa dua isu yang berhubung kait dengan perkembangan Islam yang bagi beliau selaku seorang Menteri bukan Islam sungguh membimbangkan. Pertama beliau telah menyentuh isu apa yang dikatakan percanggahan antara mahkamah sivil dan syariah. Dompok menyebut:

Objektif pertama Rukun Negara ialah mengukuhkan perpaduan. Justeru, para pembahas menyuarakan kebimbangan mengenai kesan pelbagai kes-kes keluarga yang melibatkan pertukaran agama yang sekaligus mempunyai kesan terhadap perpaduan serta keharmonian kaum dan agama dinegara kita. YAB Datuk Seri dan hadirin yang saya hormati, terus terang kami sangat risau kerana walaupun Rukun Negara begitu jelas mengenai perkara tersebut, nyatanya percanggahan perlaksanaan bidang kuasa mahkamah sivil dan mahkamah syariah telah mengakibatkan kecelaruan dalam pentadbiran kehakiman di negara kita.
Kes-kes seperti M. Moorthy, Shamala, Shubasini, Revathi, dan seumpamanya, memperlihatkan satu trend yang tidak sihat dalam perhubungan pelbagai agama dan kaum, termasuklah dalam soal hak penjagaan anak-anak dan pembahagian harta sepencarian suami isteri. Para pembahas melahirkan kebimbangan kerana kes-kes seperti ini semakin menjadi-jadi ketika usia negara kita semakin dewasa. Mereka menyatakan bahawa, bukan pula negara kita semakin matang tetapi seolah-olah kita mundur setapak kerana peri laku pihak-pihak tertentu yang seolah-olah hilang pertimbangan mengenai perpaduan dan keharmonian.

Menurut Dompok perkembangan di atas gagal membuktikan kematangan bangsa Malaysia yang dikatakan bersatupadu. Beliau mungkin memaksudkan Perkara 121 (1A) dalam Perlembagaan Persekutuan yang padanya sesuautu yang regressive ataupun melontarkan kita jauh kebelakang dari segi pembangunan bangsa dan negara.

Kemudian Dompok turut menyentuh darihal status Malaysia samada sebagai sebuah Negara Islam, sebagaimana diisytiharkan oleh bekas PM Tun Dr M sewaktu beliau PM dahulu dan terbaru oleh TPM Najib Tun Razak atau bagaimana? Katanya:

YAB Datuk Seri, para pembahas juga telah membangkitkan pandangan pelbagai pihak mengenai jenis pemerintahan negara kita yang dikatakan membimbangkan rakyat berbilang kaum dan agama khususnya yang mengatakan kononnya Malaysia ini adalah Islamic state. Dalam hal ini Upko mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga terhadap penjelasan Yang Amat Berhormat Datuk Seri yang mengatakan, bahawa, negara kita Malaysia, bukan secular mahupun theocratic state. Sebaliknya Malaysia adalah demokrasi berparlimen!
Para pembahas pagi ini menghuraikan kekhuatiran mereka sebab, buku-buku teks sivik dan tatanegara disekolah-sekolah sudah sekian lama menjelaskan bahawa Malaysia adalah sebuah negara demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan ataupun Constitutional monarchy within a parliamentary democracy dimana Islam adalah agama rasminya tetapi kesemua agama yang lain bebas diamalkan. Justeru, kami menyandarkan harapan kepada YAB Datuk Seri sebagai Pedana Menteri kepada semua rakyat Malaysia untuk mengambil pendekatan yang bijak dalam menangani perkara rapuh ini agar kita tidak tersasar daripada objektif prinsip Rukun Negara.
Kami juga memohon agar teman-teman seperjuangan dalam Barisan Nasional dan Kerajaan memahami pendapat serta ketegasan pendirian Upko mengenai perkara ini. Kami sedar kami terpanggil untuk kadang-kadang menyonsong arus dalam apapun juga perkara yang boleh menggugat perpaduan nasional yang telah lama kita sama-sama perjuangkan.

Bagi Dompok sebagaimana beliau pernah menyokong pembentukan IFC satu ketika dahulu (melalui memo Menteri-menteri bukan Islam kepada PM), Malaysia mengamalkan kebebasan agama, yang walaupun Islam adalah agama resmi negara namun semua penganutnya sepatutunya bebas memilih dan mengamalkan apa sahaja agama pilihan mereka termasuklah memilih untuk menukar agamanya.

Dompok tidak secara terbuka menyuarakan pemahamannya itu dan secara terbuka juga menolak apa sahaja usaha untuk mendakwa Malaysia ini sebagai Negara Islam kerana baginya ia bertentangan dengan semangat asal perlembagaan negara.

Lalu dimanakah duduknya Umno?

Dompok dah tentulah menjuarai kepentingan kaum dan agama yang beliau wakili. Umno bagaimana?

Tidakkah ada sesiapa dalam Umno yang berani bangun menegaskan bahawa Perkara 121 (1A) itu adalah peruntukkan perlembangaan persekutuan, suatu yang walaupun berupa pindaan baru, ianya dipinda dan ditempatkan disitu melalui kuasa yang diberi oleh perlembagaan persekutuan jua.

Kalau benar UPKO atau MCA atau DAP atau sesiapa pun yang mendakwa mahu berpegang kepada prinsip Rukunegara: Keluhuran Perlembagaan (upholding the constitution) maka mereka perlu taat dan patuh juga kepada 121 (1A) yang merupakan sebahagian dari Perlembagaan. Kembalilah kepada amalan demokrasi, jika tidak berpuas hati, kemukakan usul untuk memindanya pula melalui proses legislatif dan bukan ikut pintu belakang!

Berkali-kali dalam isu ini ianya melibatkan perkahwinan dengan orang Islam, atau dari keluarga Islam. Kita telah menerima sejak dari kemerdekaan negara dan malah diperakui oleh Perlembagaan bahawa apa sahaja yang berkait dengan isu kekeluargaan Islam perlu dirujuk kepada Mahkamah Syariah. Ianya bukan sesuatu yang baru dicipta 5 atau 10 tahun dahulu tetapi telah berada di sana sebelum Dompok aktif dalam politik lagi!

Kerana itulah Umno perlu menyatakan sikap dan pendirian mereka, dan saya percaya dalam hal ini UPKO merujuk kepada Presiden Umno. Bagaimana ya Presiden Umno?

Dalam hal Negara Islam, ianya bukan diisytiharkan oleh Pas tetapi oleh pimpinan Umno, yang lebih merupakan buah politik yang mereka jaja kepada masyarakat pengundi Melayu Islam. Dalam hal ini Dompok mengucap terima kasih kepada Dollah kerana mengisytiharkan pula negara ini sebagai bukan negara sekular dan bukan juga teokrasi. Kata Dollah ini negara demokrasi berparlimen.

Saya kira PM Dollah pun satu hal, isu Malaysia negara demokrasi berparlimen ini diterima semua sejak 1957 lagi, itu tak perlukan pengisytiharan. Yang orang mahu tahu berdasarkan politik Umno BN juga, ini Negara Islam atau Sekular. Soal mengamalkan demokrasi berparlimen tak timbul kerana ianya memang merupakan amalan kita.

Demikianlah gagah dan beraninya seorang Presiden parti komponan BN yang beragama Krisitian dari suku Murut di Sabah berbanding dengan Presiden Umno yang beragama Islam berbangsa Melayu.

Memabglah ramai tidak mengharapkan apa pun dari Dollah dan Umno dalam hal ini tetapi sekurang-kurangnya bangun mempertahankan hak kita apa sahaja yang terkandung dalam perlembagaan, jangan bagaikan kerak nasi dijirus air, lembik dan berkecai begitu sahaja apabila disergah sang tikus!

No comments: