Monday, August 13, 2007

PDRM, BPR bagaikan pagar makan padi

Tun Hanif Omar 68, adalah seorang negarawan yang terbilang.Beliau memiliki beberapa rekod yang belum dapat disaingi oleh sesiapa pun setakat ini. Antaranya beliau merupakan satu-satunya individu yang pernah memegang jawatan Ketua Polis Negara atau IGP yang paling lama iaitu selama 20 tahun dari 1974 ketika Ketua Polis Negara ketika itu Tan Sri Abd Rahman ditembak mati sehinggalah 1994.


Beliau juga merupakan IGP yang termuda iaitu menyandang jawatan tertinggi polis itu pada usia 35 tahun. Semasa berkhidmat juga Tun telah mengambil cuti untuk menamatkan Ijazah Undang-undangnya. Kini beliau merupakan Timbalan Pengerusi Kumpulan Genting Berhad. Penglibatan beliau dalam syarikat perjudian terbesar dalam negara ini sedikit sebanyak menjejaskan rekod cemerlang beliau dimata rakyat.

Apa pun, Ahad lepas dalam ruangan mingguannya Point of View dalam akhbar The Sunday Star, Tun telah mengkritik hebat beberapa institusi yang pernah satu ketika dahulu rapat dengan beliau semasa beliau IGP dahulu.Sesunggunya kritikan beliau ini perlu diberi perhatian serius kerana ia datangnya dari seorang bekas IGP yang memiliki rekod perkhidmatan yang cemerlang. Dan pastinya kritikan ini dikeluarkan berdasarkan pengalamnnya dan ilmunya yang luas dalam bidang kepolisian dan undang-undang.

Di bawah tajuk:

The fence that eats the rice
Pagar yang memakan padi

Tun telah mengkritik dua institusi besar yang menjadi perhatian umum hari ini khususnya dalam membicarakan penguatkuasaan undang-undang dan ketenteraman awam serta rasuah. Dua institusi itu adalah PDRM dan BPR. Kata beliau dua insititusi yang dihormati masyarakat ini telah sejak 10 tahun kebelakangan menjadi institusi yang dikenali kerana sebab-sebab yang tidak baik.

Tun menyatakan yang beliau pernah memberi taklimat kepada Suruhanjaya Di Raja Penambahbaikan PDRM bahawa beliau mendapat tahu yang 40 peratus dari pegawai kanan PDRM hari ini boleh ditahan tanpa perlu banyak penyiasatan jika dilihatkkan pada gaya hidup masing-masing. Seorang Ketua Polis Negeri dikatakan memiliki harta berjumlah RM18 juta.
Adakah boleh kita menolak dakwaan Tun ini?

Mungkin kita boleh meneropong dan melihat sendiri gaya hidup para pegawai kanan ini. Ramai yang dibayar gaji lebih rendah dari pengarah eksukutif syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia tetapi memiliki rumah dan kereta yang lebih besar dan mewah. Anak-anak para pegawai kanan polis juga memandu kereta yang hebat-hebat dan memiliki gaya hidup yang luar biasa.

Inilah kebimbangan yang ingin diluahkan oleh Tun, kerana menurut beliau keadaan telah menghancur-ranapkan apa yang beliau dan bekas-bekas pegawai kanan polis bina sebelum ini.
Kata Tun laporan dan cadangan-cadangan Suruhanjaya Di Raja yang beliau maksudkan itu telah pun diterbitkan kira-kira dua tahun lalu, namun imej PDRM masih begitu juga. Dan beliau mendakwa yang kini terdapat dua kumpulan dalam PDRM yang sesungguhnya menjejaskan kerja para pegawai tingkat bawah. Satu kumpulan kata beliau menahan kepala-kepala samseng yang dikatakan terlibat dengan jenayah manakala satu kumpulan lain dengan bantuan BPR membuat penyiasatan pula terhadap kumpulan yang pertama kerana kononnya mempercayai yang tindakan kumpulan pertama ini menjejaskan pemberi maklumat untuk kumpulan mereka.

Dan Tun tidak berselindung apabila beliau mendedahkan bahawa kumpulan-kumpulan ini satunya diketuai oleh IGP dan satu lagi oleh seorang Pengarah PDRM yang dilindungi oleh Timbalan Menteri Keselamatan Dalm Negeri. Kata Tun lagi kedua-dua IGP dan Timbalan Menteri berkenaan pernah dituduh terlibat dengan rasuah, mereka disiasat oleh BPR dan apa yang diketahui Peguam Negara telah melepaskan kedua-dua mereka atas sebab yang hanya diketahui Peguam Negara, jadi siapakah tanya Tun yang boleh dipercayai?
Lalu Tun mengajukan serangan beliau terhadap Peguam Negara pula. Kata Tun, Peguam Negara juga telah hilang maruah kerana sikap keras kepalanya dan juga kerana kegagalannya dalam beberapa kes profil tinggi sehingga ada diantara kes yang telah lama berada ditangannya tidak pun munculk untuk didakwa. Ini merupakan satu malapetakan kerana Pejabat Peguam Negara adalah institusi kedua paling penting dalam sistem keadilan jenayah.
Saya seakan tidak percaya tulisan ini datangnya dari Tun Hanif Omar, tetapi itulah hakikatnya. Dan melalui artikel ini terbukti rasuah dan penyalahgunaan kuasa sudah sampai ketahap yang paling kritikal dalam negara. Bayangkan mereka yang diberikan amanah dan keyakinan untuk memelihara keselamatan negara dan ketenteraman awam, tetapi mereka pula bersekongkol dalam kerja-kerja kotor dan memalukan ini.

Pagar sudah makan padi kata Tun, apalah agaknya reaksi Perdana Menteri yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri apabila membaca artikel Tun ini. Ini bukan artikel dari seorang blogger atau surat dari pembaca, tetapi ianya datang dari seorang bekas Ketua Polis Negara yang membawa bersamanya segunung pengalaman dan kecermerlangan kerja yang diiktiraf negara?

Pada siapakah lagi rakyat mahu bergantung harapan dalam keadaan begini?

No comments: