Thursday, September 06, 2007

SPR juga memanjat usia ke 50

Kita masih lagi dalam mood hari ulangtahun kemerdekaan negara yang ke 50. Dan beberapa hari selepas itu Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia atau SPR pula meraikan ulangtahunnya yang ke 50 pada 4 September baru-baru ini.

Sebut sahaja nama SPR pasti berbagai gambaran, pengalaman dan kritikan bermain di kepala kita terutama yang pernah ada pengalaman. Badan yang bertanggungjawab mengurus dan mengendalikan pilihanraya umum di Malaysia ini seingat saya tidak pernah menerima rating yang baik termasuklah kadangkala dari Umno dan BN sendiri.

Rakyat mengharapkan SPR benar-benar bebas dan tidak kelihatan tunduk atau condong kepada mana-mana pihak. Sepanjang tempoh pilihanraya kuasa mutlak dalam hal-hal pilihanraya sepatutnya berada ditangannya termasuklah terhadap sesiapa sahaja yang bertindak melanggar peraturan dan undang-undangnya.

Tetapi begitukah selama ini?

Saya tidak nafikan mungkin ada para pegawai SPR yang berkhidmat dengan jujur dan adil tetapi kepala-kepalanya yang kanan seringkali sungguh mengecewakan.

Kita telah melihat sebelum ini betapa gelanggang pilihanraya sering memihak kepada Umno dan BN yang memegang tunggak diperingkat pusat. Kempen pilihanraya disekat dan diganggu termasuklah terbaru dalam pilihanraya kecil di Ijok. Media arus perdana sekonyong-konyong bertindak sebagai agen kempen BN tanpa memberi sekelumit pun peluang kepada parti lawan terutama stesyen-stesyen TV dan radio.

Dimanakah SPR?

Ramai yang menyangkakan mungkin SPR kebelakangan ini sahaj yang begitu, dulu-dulu tidak. Lalu saya petik di bawah ini catatan bekas Ketua Kaum Ibu (sekarang Ketua Wanita) Umno, yang kemudiannya menjadi ahli Parlimen wanita PAS yang pertama, Allahyarham Khatijah Sidek di dalam bukunya:

Memoir Khatijah Sidek: Puteri Kesatria Bangsa (Penerbit UKM)





Kerajaan Perikatan pimpinan Tuanku Abdul Rahman memang sangat kuat dan mereka menggunakan banyak wang sumbangan tauke besar Cina untuk menentang kami, sebuah parti orang Melayu yang daif.

Dalam pilihanraya 1959 semua menteri Umno dan Perikatan menyerang kami sehebat-hebatnya menuduh kami kominis untuk menakut-nakutkan orang kampung.

Pihak kerajaan membuat salinan surat yang dikatakan ditulis oleh Dr Burhanuddin; kemudian, pada pukul 4.00 pagi hari mengundi , orang Umno pergi mengetuk pintu rumah orang kampung menunjukkan surat itu kepada penghuni sambil memberi amaran: Kalau kamu undi PAS bererti kamu mengundi kominis dan akan masuk penjara serta merta.

Membaca pengakuan Khatijah ini membuatkan kita bertanya, dimanakah SPR ketika itu? Lantas kita boleh membuat kesimpulan sebenarnya tidak banyak berbeza mereka sejak awal penubuhannya sehingga kini! Tambah-tambah kini ketika kita disuruh membentuk minda kelas pertama, membangunkan kemudahan kelas pertama, rupanya asas pembentukan negara kita, sistem demokrasi itu sendiri, terus tempang dan hodoh, dari dahlu, kini dan mungkin buat selama-lamanya.

No comments: