Tuesday, October 09, 2007

Mari kita bincang isu perpaduan Melayu

Ketua Pemuda Gerakan Mah Siew Keong ketika berucap dalam Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda Gerakan bar-baru ini mencadangkan agar kesemua 14 parti komponan Barisan Nasional bergabung bawah satu parti demi membina dan memperkukuhkan perpaduan nasional. Ketika itu barulah konsep Malaysian Malaysia iaitu satu bangsa satu negara dapat direalisasikan.

Itu cadangan Pemuda Gerakan. Walaupun hampir kesemua pimpinan parti komponan BN memberikan reaksi yang negatif, sekurang-kurangnya Mah muncul sebagai pemimpin Pemuda yang berani menyuarakan pandangannya.

Sementara itu beberapa pihak lain pula mengesyorkan jika dikalangan parti komponan BN sudah berani berbincang dan mencadangklan perkara sed rastik ini demi apa yang dikatakan perpaduan nasional, mengapa atas nama perpaduan Melayu dan mungkin juga turut menjurus ke perpaduan nasional, Pemuda Umno dan PAS tidak turut duduk berbincang perkara yang sama?

Orang Melayu Islam pun sebenarnya banyak perkara yang belum selesai dikalangan mereka. Kita tolak ketepi dahulu sentimen politik masing-masing, cuba kita teliti dan insafi kemajuan dan pembangunan kita secara holistik, sejak dari Merdeka sehingga kini, samada sebagai bangsa Melayu lebih-lebih lagi sebagai umat Islam dalam negara tercinta ini.

Ini bukan mahu membakar api perkauman. Kita mahu berbicara masalah kita sama kita. Nasib dan survival bangsa dan ummah, tanpa menyinggung atau menyerang bangsa dan penganut agama lain dalam negara ini.

Sejauh manakah kemajuan agama dan bangsa kita? Bagaimanakah Islam dibela dan dipelihara sejak kita anak-anak bangsa memegang tanpuk kuasa dalam negara ini, sehingga kin? Sejauh manakah tahap pemahaman, kecenderungan dan kecintaan kita semua kepada agama yang kita anuti ini? Serauh manakah keikhlasan kita untuk melihat agama ini mentadbir dan membimbing kita? Apakah yang perlu kita lakukan untuk memperkasakan Islam dalam negara?

Dalam waktu yang sama kita lihat sendiri pencapaian bangsa kita samada dari segi ekonomi, pendidikan dan sosial. Apakah yang boleh kita lakukan bersama untuk memastikan yang tidak ada lagi anak bangsa kita yang terpinggir, miskin tegar, lapar dan merempat dibuminya sendiri.
Ini semua isu yang serius yang perlu diberi perhatian, dan tidak ada pihak lain melainkan parti politik Melayu Islam yang terbesar dalam negara, iaitu PAS dan Umno yang tersangat layak membicara dan membincangkan perkara-perakara ini.

Semalam Ketua Dewan Pemuda PAS Sdr Salahuddin Ayub, telah mengirim sepucuk surat ke rakan sejawatannya Dato Hishamuddin Tun Hussien, bagi menawarkan untuk duduk bersama berbincang isu perpaduan Melayu dan perpaduan nasional.

Bagaimanakah respon Pemuda Umno?

Dipenghujung Ramadhan dan diambang Syawal ini sesuai sangatlah masing-masing mengambil peluang bagi meneliti perkara ini. Perpaduan nasional hanya akan dapat dibina jika bangsa Melayu yang merupakan tonggak dalam negara ini mampu berpadu dan bersatu terlebih dahulu.

Dan ianya perlu dimulakan dengan kesudian duduk bersama berbincang dengan penuh kasih sayang dan hurmat. Bolehkah ianya dimulakan?

No comments: