Friday, November 09, 2007

Ayuh berhimpun di Dataran Merdeka!

Baru sahaja selepas solat Jumaat tadi saya berkenalan dengan seorang anak muda lulusan al Azhar. Beliau dan rakan-rakannya seramai kira-kira 100 orang menurutnya, tiba Subuh tadi dari Kota Bharu untuk menyertai PERHIMPUNAN AMAN BERSIH, jam 3.00 petang di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur esok. Saya difahamkan rombongan dari segenap pelusuk Negara kini beransur-ansur tiba untuk turut serta dalam perhimpunan bersejarah itu.

Menurut yang baru tiba, terdapat sekatan jalanraya dari sempadan Kelantan-Terengganu sehinggalah jalan memasuki Kuala Lumpur. Pihak polis dikatakn dalam keadaan berjaga-jaga dan bersiap-sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Kita faham mereka bertugas untuk menjaga keselamatan rakyat dan negara, itu tugas mereka. Kita sebagai rakyat juga menjalankan tugas, iaitu menuntut hak kita sebagaimana yang terjamin di dalam Perlembagaan negara.

Kita mahukan pilihan raya yang bersih dan adil, mudah-mudahan sistem demokrasi yang BERSIH akan melahirkan sebuah kerajaan dan negara yang BERSIH. Dan lebih penting lagi memorandum tuntutan kita itu sudi diterima oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Raja kita, yang kita semua telah melafazkan taat setia kepada Baginda sebagaimana termaktub dalam Rukunegara.

Raja dan rakyat berpisah tidak, oleh itu janganlah mudah-mudahan ada mana-mana pihak menyekat dan menghalang kita dari mengadap Raja kita yang kita kasihi itu.

Syabas saya ucapkan kepada rakan-rakan yang telah dan akan tiba ke KL dari segenap pelusuk bumi Semananjung ini. Disaat penuh bersejarah ini kita renunglah beberapa kerat sajak Allahyarham Sasterawan Negara Usman Awang, yang dinukilkannya semasa Peristiwa Mogok Utusan dahulu, mungkin boleh dibuat sebagai pencucur semangat:

Lihat betapa temanmu telah berdiri di sini
sebaris dengan kami
para buruh dan petani
di jalan sungai besi
se derap belajar dari hidup berani

Lepaskan tangan halus kekasih di tasik
atau bersamanya berjalan ke parlimen
kerana tenagamu dengan ilmu di dada
akan merombak erti hidup sebuah negara.

(Sajak: Mahasiswa)

Ramai yang bertanya tentang tindakan yang mungkin diambil oleh pihak keselamatan terhadap rakyat jelata yang menyertai HIMPUNAN AMAN ini esok. Saya katakan insyallah, ini HIMPUNAN AMAN, jika pihak keselamatan rasional dan mahu memelihara maruah dan nama baik negara (sebagaimana kita), mereka akan mengawalnya tetapi tidak bertindak. Kepada rakan-rakan dinasihatkan agar tidak mencetuskan sebarang tindakan yang tidak diingini, kita berhimpun secara AMAN dan matlamat kita adalah untuk menyembahkan MEMORANDUM RAKYAT kepada Yang Dipertuan Agong. Tidaka ada siapa yang datang esok mahukan keganasan atau mahu mencetus huru-hara.

Hidup ini memang sentiasa dibayangi oleh risiko, namun yakinlah apa yang kita lakukan ini akan ditulis dalam lipatan sejarah negara dan disaksikan oleh Allah swt. Kata Alahyarham SN Usman Awang lagi:

Di belakang duri di depan api
kita tidak bisa undur lagi
duri dan api, tajam panasnya kita hadapi.

Semalam dan hari ini kita diukir sejarah
dimana air mata tidak akan menitik tumpah
sebab kebulatan ikrar tidak akan berubah
apa saja kita tidak akan menyerah.

Ayuh jumpa anda semua jam 3.00 petang di Dataran Merdeka.

Hidup Malaysia, Daulat Tuanku!

No comments: