Tuesday, November 06, 2007

Jangan sekadar bincang tetapi selesaikan terus masalah kos hidup rakyat

Dalam artikel saya sebelum ini yang bertajuk: Realiti hidup yang semakin menyiksa, saya menulisberkenaan kos hidup rakyat jelata yang semakin meningkat dan menghimpit kehidupan. Lalu saya melontarkan:

Mungkinkah Perhimpunan Umno mulai hari ini ada masa untuk membincangkan perkara ini? Atau ianya juga dikira sesuatu yang sensitif yang tidak boleh dibincang?

Kebetulan tajuk akhbar Utusan Malaysia semalam menyebut:

Bincang kos sara hidup: Usul paling banyak diterima untuk dibahas di perhimpunan Umno

Kalau benarlah usul ini akan dibincangkan oleh forum perhimpunan Melayu yang terbesar dalam negara itu, Alhamdulillah. Tambah-tamabh mereka yang hadir itu semua merupakan tonggak kepimpinan negara. Atas merekalah untuk menangani isu ini, merekalah kerajaan merekalah kepala kecuali di Kelantan. Bersemangat juga saya apabila diberitahu tentang berita tersebut.

Walaubagaimanapun apabila membaca akhbar yang sama hari ini, saya agak terganggu dengan ulasan Ketua Penerangan parti tersebut Muhammad Mohd Taib, berkenaan isu ini. Seolah-olah formula penyelesaian masalah yang menimpa rakayt ini terletak atas kepala bahu rakyat sendiri. Rakyat diseru berjimat cermat. Kata Mat Taib:

Rakyat harus dipersiapkan dari segi minda, pengurusan diri dan keluarga mereka supaya berjimat serta tidak ada pembaziran.

Untuk makluman beliau rasa saya sejak dari kenaikkan harga petrol pada bulan Febuari tahun lepas, rakyat yang teruk terjejas akibatnya serta kesan langsung terhadap harga barangan dan perkhidmatan lain hasil dari kenaikkan itu telah pun masing-masing membuat adjustments terhadap gaya hidup mereka. Harga barangan dan perkhidmatan selepas itu terus mencacak naik walaupun kerajaan mengeluarkan pelbagai kenyataan agara para peniaga tidak menaikkan harga produk dan barangan serta perkhidmatan mereka.

Oleh itu kalau sekadar menyeru rakyat berjimat cermat tetapi dalam waktu yang sama kerajaan dan pimpinan negara bermewah-mewah dan berbelanja pada perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah langsung kepada rakyat, saya rasa segala-galanya menjadi sia-sia.

Kita telah hentikan projek itu dan ini atas sebab-sebab politik akhirnya kita dikenakan membayar pampasan berjuta-juta ringgit, siapakah yang perlu mengamalkan penjimatan dalam hal ini?

Kita seru rakyat berhemah tetapi lihatlah Laporan Ketua Odit Negara betapa jutaan wang negara dibelanjakan untuk membeli harga barangan yang boleh didapat dipasaran terbuka dengan harga yang jauh lebih murah, siapakah yang patut berhemah?

Janganlah keluar dengan kenyataan yang tidak membawa rakyat kemana-mana. Kalau benarlah Umno memperjuangakan nasib agama , bangsa dan negara, maka berilah suatu formula bagi menyelesaikan kesusahan rakyat ini. Apakah langkah-langkah kerajaan untuk berjimat cermat yang akibatnya boleh menjimatkan wang negara? Apakah langkah alternatif yang boleh diambil untuk menurunkan harga barangan dan perkhidmatan yang kritikal?
Mari kita pasang telinga dan ikuti apakah jalan penyelsaian baru selain dari mengajak rakyat berjimat cermat itu.

No comments: