Saturday, November 24, 2007

Khairy Jamaluddin: sindrom politik mentahan

Dalam akhbar hari ini kita dapat membaca apa lagi yang menantu Dollah berkata di Kota Bharu semalam.

Saya tertarik apabila beliau turut menyentuh berkenaan Perhimpunan Aman Rakyat anjuran BERSIH tempoh hari. Menurut The Star, Khairy mendakwa yang PAS lah yang telah menyediakan kemudahan untuk perhimpunan berkenaan malah katanya 80% dari mereka yang keluar adalah penyokong PAS belaka, tapi kata beliau lagi yang untung adalah Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang.





He claimed that 80% of the demonstrators were from PAS but those who benefited most were Parti Keadilan Nasional de facto leader Datuk Seri Anwar Ibrahim and DAP advisor Lim Kit Siang

Akhbar tersebut walaubagaimanapun tidak pula menerangkan mengapa Khairy mendakwa yang untung hanya Anwar dan Kit Siang, adakah ini bermakna yang dalam perhimpunan tersebut PAS telah rugi?

Di sana sahaja kita dapat melihat betapa tidak masak dan matangnya Khairy ini dalam membaca perkembangan politik. Beliau mungkin boleh berbangga yang beliau menantu PM dan Presiden Umno, tetapi hakikatnya beliau mentah dan kosong dalam bacaan politik. Inilah akibatnya apabila ghairah melonjakkan diri terlalu cepat dalam gelanggang, nampak sahaja gagah dan megah rupanya kosong dan haprak.

Memang PAS telah turut bertungkus-lumus untuk menjayakan perhimpunan tersebut kerana PAS menganggotai BERSIH. Begitu juga semua rakan BERSIH yang lain termasuklah PKR, DAP dan NGO-NGO lain. Komitmen diberikan oleh PAS kerana PAS begitu yakin dengan matlamat dan tuntutan BERSIH. Kenapa Khairy risau bila 80% yang keluar orang PAS? Dalam pakatan BERSIH itu hakikatnya PAS lah yang memiliki keahlian teramai, Khairy mungkin lupa selepas Umno, PAS lah parti politik terbesar dalam negara!

Yang untung pada hari tersebut bukannya Anwar, Kit Siang atau TG Hj Hadi. Yang untung adalah rakyat yang memperjuangkan tuntutan BERSIH itu. Terbukti rakyat Malaysia sanggup menghadapi risiko untuk hadir berhimpun dengan angka yang begitu luar biasa ramainya, walaupun menerima pelbagai gangguan dan ugutan termasuklah dari bapa mertua Khairy dan Khairy sendiri namun rakyat keluar juga kerana sesungguhnya sistem pilihanraya kita benar-benar kotor dan tempang. Perhimpunan tersebut sebenarnya membuktikan yang walaupun bapa mertua Khairy mengugut agar beliau jangan dicabar, namun kekuasaan rakyat mencabarnya juga, sekaligus membongkar keburukkan sistem pilihanraya di Malaysia bukan sekadar untuk diketahui rakyat tempatan tetapi turut disedari masyarakat antarabangsa.

Kini rakyat Malaysia sedar akan apa yang diperjuangkan BERSIH. Terima kasihlah kepada semua yang membantu mempromosikannya termasuklah Khairy sendiri.

Janganlah Khairy mahu menangguk di air keruh dengan cuba melaga-lagakan antara pimpinan pembangkang. Itu politik hutan-rimba yang sudah tidak dibeli lagi oleh rakyat. Rakyat telah melihat dengan mata kepala mereka sendiri, dan kini mereka menunggu untuk bersuara. Panggillah pilihanraya umum, kelak kita lihat siapa yang untung siapa yang rugi.

No comments: