Monday, November 19, 2007

Mana Polis mana BPR?

Saya sungguh terperanjat apabila mendapat tahu darihal sidang akhbar yang dipanggil oleh seorang peguam dan bekas ahli Parlimen Bukit Bintang, Sdr Wee Chee Keong semalam. Laporannya boleh didapat dalam akhbar-akhbar tempatan kecuali Utusan Malaysia.
Dalam sidang akhbar tersebut Wee telah mendedahkan laporan polis yang dibuat oleh adik peguam kontroversial VK Lingam iaitu V.Thirunama Karasa, 49 tahun, di Balai Polis Brickfield pada 19 Mac lalu (sebelum itu satu lagi laporan telahpun dibuat pada 16 Mac di balai yang sama).

Antara kandungannya:

Beliau menyaksikan Lingam menyerahkan sekeping cek bernilai RM50,000 kepada seorang hakim Mahkamah Perusahaan.

Beliau membantu dalam menjayakan sebuah majlis makan malam yang dianjurkan oleh Lingam untuk seorang bekas Ketua Hakim Malaya dan keluarganya. Turut hadir seorang bekas Ketua Mahkamah Rayuan dan isterinya.

Beliau diarahkan menyerahkan sebuah beg kulit baru yang di dalamnya mengandungi beberapa dokumen, dompet dan beg tangan kulit untuk wanita ke rumah seorang hakim kanan

Beliau telah beberapa kali menghantar Lingam ke rumah seorang bekas Ketua Hakim Malaya sekita jam 11.30 malam dan setiap kali Lingam akan keluar dari rumah tersebut sekitar jam 12.30 malam atau 1 pagi

Beliau pernah diarahkan menghantar sebuah beg yang berat kepada seorang hakim Mahkamah Rayuan.

Beliau dan seorang rakan pernah menghantar dua buah telefon bimbit baru ek seorang Hakim Mahkamah Rayuan

Beliau pernah diberi wang tunai untuk mebayar bil telefon bimbit seorang bekas Ketua Polis Negara

Dalam heboh Perdana Menteri mengumumkan yang sebuah Suruhanjaya Diraja akan ditubuhkan untuk menyiasat video VK Lingam yang didedahkan oleh Dato Seri Anwar Ibrahim kira-kira dua bulan lepas, kini terbit pula perkembangan terbaru ini.Yang anehnya adik Lingam itu mendakwa yang beliau telah membuat tiga laporan berasingan kepada BPR berhubung pembabitan abangnya dengan rasuah.

Mengapa pihak polis seolah mendiamkan diri dan menutup laporan polis yang dibuat oleh adik Lingam ini iaitu kira-kira 8 bulan lau?! Mengapa pihak BPR menyepi diri kepada laporan-laporan yang dibuat oleh adik peguam ini? Apabila muncul kes video VK Lingam kedua-dua pihak polis dan BPR seakan konon-kononnya terperanjat. Ketua Pengarah BPR pula berlakon seolah perkara ini perkara baru dan mengancam mahu menangkap Anwar pula, sedangkan rupa-rupanya telah pun ada laporan polis dan BPR dibuat terlebih dahulu.

Saya kira dengan perkembangan ini kes rasuah dan salah-guna kausa membabitkan badan kehakiman sudah menjadi semakin serius dan parah. Pihak polis dan BPR pula bagaikan membisu dan seakan bersubahat dalam hal ini.

Oleh itu dengan perkembangan terbaru ini Suruhanjaya Diraja yang bakal dibentuk itu perlu juga menyiasat mengapa pihak polis dan BPR tidak mengambil tindakan terhadap laporan-laporan mengenai VK Lingam yang dibuat oleh adiknya. Jika ada usaha untuk menutup atau menyembunyikan kes ini maka tangkap dan dakwa mereka yang terlibat tanpa mengira pangkat dan kedudukan.

Syabas Thirunama yang menyebut bahawa beliau sanggup mendedahkan kes ini walaupun melibatkan abang kandungnya sendiri kerana beliau berasa bersalah. Kembalikan kebebsan kehakiman, seret dan dakwa hakim-hakim, polis dan pegawai kerajaan yang bersubahat meruntuhkan institusi ini.

No comments: