Wednesday, December 26, 2007

Bersediakah kita membawa perubahan?

Dalam kita menunggu-nunggu tibanya tarikh Pilihan Raya Umum ke 12, macam-macam spekulasi dan ramalan yang turut kita dengar. PAS akan kalah di Kelantan (ada juga mengatakan Umno akan berkubur di Kelantan), PAS akan tawan kembali Terengganu, DAP dan PKR akan sapu Pulau Pinang, Umno akan hilang kuasa di Sabah, dan macam-macam lagi.
Dan inilah juga yang diharapkan dari kawan-kawan saya apabila bertemu saya, bagaimana harapan dalam pilihan raya nanti?

Tentulah saya mahukkan kerajaan berubah disemua peringkat. Rakyat Malaysia sebulat suara memberi peluang kepada parti-parti alternatif untuk membuktikan kemampuan mereka manakala BN duduk dikerusi pembangkang dan merasa bagaimana pengalamnnya menjadi pembangkang pula. Tetapi itu kemahuan saya, sebagaimana saya yakin kemahuan Dollah untuk melihat BN muncul sebagai satu-satunya parti untuk rakyat Malaysia di semua peringkat!
Realitinya bagaimana? Bagaimanakah mood rakyat sekarang ini? Jika pilihanraya diadakan hari ini, bagaimanakah kecenderungan mereka?

Kerana itulah apabila ditanya Tun Daim Zainuddin beliau berkata, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor adalah “hotspots” bagi BN, itu bacaan Daim. Adakah ianya mencerminkan kemahuan rakyat?

Apabila Ketua Pemuda MIC, PPP dan IPF tiba-tiba duduk semeja bagaikan kawan-kawan bersedia menyelesaikan masalah kaum India di Malaysia, adakah itu petanda masyarakat India sudah mula berubah selera? MIC dan IPF adalah seteru politik, masing-masing bercakaran untuk mencuri sokongan masyarakat India begitu juga MIC dan PPP, tetapi apabila seterus duduk bersama, pasti ada cabaran diluar yang hebat yang mengakibatkan mereka terpaksa berbuat demikian.

MCA dan Gerakan juga sedang berkuntau bagi memenangi hati masyarakat Cina. Disaat-saat akhir ini berbagai janji ditaburkan. Hati masyarakat Cina mahu dipelihara, mengapa, kerana sejak akhir-akhir ini berita menyatakan yang masyarakat Cina sudah mula bosan dan kini bersedia untuk mengalihkan sokongan kepada pembangakng!

Itu yang sedang berlaku pada hari ini, tetapi memang untuk membaca setepat-tepatnya sangat sukar.

Puluhan ribu (kata Harakah mencecah ratusan ribu) hadir dalam ceramah Tuan Guru Presiden PAS bersama Anwar Ibrahim di Alor Setar, Kedah baru-baru ini. Sebelum itu dalam program “roadshow” nya di Pulau Pinang, Anwar disambut oleh ribuan rakyat berbilang kaum terutama masyarakat India. Adakah semua ini memberikan sebarang petunjuk?

Yang pastinya rakyat terus hidup dalam keadaan memikul beban, beban utama adalah ekoran kenaikkan kos hidup yang semakin mencengkam, bagi mereka yang baru dilanda banjir, kini memikul beban baru pula iaitu untuk memulihkan kehidupan, suatu yang bukan mudah. Hidup sudah tidak seronok dan riang lagi seperti dahulu (tanyalah siapa sahaja kecuali segelintir kecil para kroni yang terus menimba kekayaan), persekolahan anak-anak, walaupun buku-buku teks kini percuma tetapi pakaian seragam, kasut, bag dan lain-lain peralatan wajib semakin mahal.
Itu realiti, bukan cerita bikin-bikinan, tetapi sesuatu yang nyata.

Jenayah, rasuah dan salah-guna kuasa semakin menjadi-jadi. Ada-ada sahaja yang dibunuh, diculik, dirogol, diperkosa, diseret ke mahkamah kerana menipu dan menyeleweng wang rakyat, wang syarikat. Negara kelihatan gawat dan tidak selamat.

Lalu saya nyatakan kepada rakan-rakan yang bertanya, jika kita memikirkan semua ini, kita seharusnya juga memikirkan jalan keluar. Kalau kita umpamakan seperti pasukan bolasepak, mungkin pengurusnya, jurulatihnya, perlu ditukar, mungkin ketika itu baru pasukan akan maju dan berjaya. Kalau kita umpamakan seperti dagangan pasaran saham. Mungkin porfolio yang kita pegang sudah tidak berdaya maju lagi, ada yang lain yang lebih prospeknya, mungkin kita perlu berani jual apa yang kita pegang (walaupun rugi) dan beli yang lain yang lebih baik dan menjanjikan masa depan.

Umno dan BN bukannya parti dari langit. Menolak mereka bermakna akan mengundang bala dan ancaman dari langit. Malah tidak menolak mereka pun kini sudah mengundang pelbagai bala.

Begitu juga PAS, DAP, PKR bukannya parti puaka. Mengundi mereka bermakna mengundang malapetaka. Malah tidak mengundi mereka pun sekarang ini kita sudah bergelumang malapetaka!

Pokoknya disini kita perlu bijak membuat perhitungan politik. PAS contohnya di Kelantan telah berjaya melahirkan pemimpin-pemimpin Melayu yang berwibawa dan berkaliber, jauh mengatasi pemimpin-pemimpin Melayu yang Umno lahirkan sejak Merdeka! DAP, kita telah melihat bagaimana mereka berani membongkar dan mendedahkan penyelewengan dan korapsi dalam BN kerana dedikasi mereka sepanjang memegang amanah duduk dikerusi pembangkang. Dan PKR punya Anwar Ibrahim, Khalid Ibrahim, semuanya berpengalaman belaka tidak termasuk yang lain-lain yang merupakan pejuang dan pembela rakyat seperti Tian Chua dan Sivarasa dan ramai lagi.

Kalau kita iktiraf bahawa kesusahan dan kepayahan yang sedang melanda hidup kita dan negara tercinta ini angkara kesilapan dan kelemahan pemimpin yang ada, maka kita perlu iktiraf juga bahawa sudah tiba masanya kita memberi peluang kepada pihak lain yang kelihatan lebih cekap dan bertanggungjawab.

PAS pernah menang sebesar 27 kerusi parlimen dalam pilihanraya 1999 manakala bagi DAP pencapaian terbaiknya adalah 24 kerusi pada tahun 1986 dan PKR 5 kerusi 1999. Jumlah disitu adalah 56 kerusi. Jika PAS dapat tambah 20 (jadi 47) DAP tambah 20 (jadi 44) dan PKR tambah 15 (jadi 20) bermakna mereka bersama memenangi 111 kerusi, Parlimen kita ada 219 kerusi, ini bermakna BN tinggal 108 dan duduk di kerusi pembangkang!

Itu peringkat Pusat, negeri-negeri pula?

Mungkin ianya “too good to be true” tetapi berdasarkan realiti yang sedang kita hadapi saya berani menyatakan ianya tidak mustahil dengan syarat rakyat Malaysia sederap bangun menuntut perubahan. Ahhh, 111 dan 108 terlalu rapuh, jangan bimbang apabila cecah sahaja 110 percayalah mana-mana ahli Parlimen BN yang tinggal ketika itu sudah pun melompat menjadi ahli PAS, DAP atau PKR.

Saya dan keluarga sudah bersedia membuat perubahan ini, anda bagaimana?

No comments: