Monday, December 24, 2007

Masyarakat India tetap setia dengan BN?

Seluruh jentera kepimpinan MIC tiba-tiba bersuara serentak. Suara lantang mereka mendapat ruang dalam akhbar-akhbar media perdana. Dari Samy Vellu ke Palanivel sehinggalah ke Ketua Pemudanya Vigneswaran, semuanya tiba-tiba mempertahankan rekod MIC dalam membela nasib dan kebajikan masyarakat India di Malaysia.

Kenapa perlu pertahankan? Apakah ianya kini dipertikaikan?

Semuanya menafikan dakwaan bahawa masyarakat India di Malaysia terpinggir, semuanya menolak anggapan bahawa kebangkitan Hindraf tempuh hari akan mengakibatkan tindakbalas politik masyarakat India terhadap BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Kata Palanivel yang juga Timbalan Presiden MIC, masyarakat India rata-rata taat pada MIC dan BN beliau menolak dakwaaan Penasihat DAP Lim Kit Siang bahawa berikutan kebangkitan Hindraf, pengundi India tidak lagi sepakat dalam memberikan sokongan padu pada BN.

Ketua Pemudanya Vigneswaran pula menegaskan yang parti-parti pembangkangs sengaja mahu mencetuskan kekeliruan dikalangan masyarakat India untuk mencuri sokongan mereka. Beliau telah mengarahkan seluruh kekuatan Pemuda MIC untuk turun ke akar umbi bagi mengkaji sebarang masalah yang tidak dapat diselesaikan diperingkat tersebut.

Lalu benarkah pengundi dari kalangan masyarakat India akan mengalihkan sokongan mereka dan tidak lagi mengundi BN kali ini? Sebenarnya “swing” ataupun ayunan sokongan dari Bn ke pembangkang dikalangan masyarakat India jarang-jarang berlaku. Benarlah kata Palanivel bahawa msyarakat India secara tradisinya merupakan penyokong kuat BN. Walaubagaimanapun itu tidak bermkana mereka terus menerus akan meyokong BN secara membuta.

Pada tahun 1990 berikutan pemecatan MG Pandithan dari MIC dan penubuhan parti IPF yang dipimpin sendiri oleh beliau, masyarakat India telah berpecah sokongan. Pandithan ketika itu diiktiraf sebagai pemimpin India yang kental sokongannya diperingkat akar umbi khasnya dikalangan masyarakat India di luar bandar dan di estet-estet iaitu yang berpendapatan rendah. IPF berjaya mencuri sokongan penyokong-penyokong MIC dan dalam pilihanraya tahun itu Pandithan membawa partinya untuk bergabung dalam pakatan Gagasan Rakyat bersama Semangat 46 dan DAP.

Buat pertama kali dalam sejarah, undi masyarakat India berpecah. Di setengah-setengah tempat ia hampir sahaja berpecah 50-50 antara BN dan pembangkang. Kalau diperhatikan ketika itu peti-peti undi di kawasan-kawasan lebih 90% pengundi India khasnya di kawasan-kawasan estet, lonjakkan sokongan terhadap pembangkang dikalangan masyarakat India begitu ketara sekali.

Itu 17 tahun yang lalu. Kini Pandithan telah kembali berdakap dengan Samy Vellu dan isu pergeseran antara kedua tokoh itu telah dilupakan masyarakat. Kini masyarakat India sedang hangat memperkatakan darihal nasib dan masa depan mereka. Mereka mula mempertikaikan sumbangan MIC, mereka mula sedar bahawa walaupun suara masyarakat India duduk di dalam kabinet namun mereka terus terpinggir dan merempat walaupun setelah 50 tahun merdeka.
Kata Naib Ketua Pemuda Gerakan, Paranjothy, masyarakat India di Malaysia kini merupakan rakyat kelas keempat!

Hakikatnya hanya jauhari mengenal maknikam. Nasib dan kesusahan masyarakat India hanya boleh difahami oleh kalangan masyarakat India sendiri. Jika pembangkang yang mengatakan masyarakat India terpinggir, mungkin banyak pihak boleh mengatakan ianya mainan pembangkang, tetapi apabila dikalangan pimpinan India dalam BN juga begitu, saya yakin masanya sudah tiba untuk kita menyaksikan lonjakkan undi protes yang lebih besar dari masyarakat India terhadap BN. Mungkin lebih besar dari sejarah tahun 1990 dahulu.

Marilah kita semua, Melayu, India dan Cina, rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dan cintakan keadilan, bangun dan mengundi untuk perubahan.

No comments: