Sunday, December 23, 2007

Paranjothy menjadi wira angkara kedangkalan Pemuda Umno

Pemangku Presiden Gerakan, Dr Koh Tsu Koon nampaknya berada dalam keadaan tersepit. Beliau sudah pastinya mahu memimpin parti Gerakan ke arah kemajuan yang lebih besar setelah mantan Presidennya Dr Lim Keng Yaik mengundurkan diri. Pilihan raya sudah semakin hampir. Pulau Pinang menurut Tun Daim Zainuddin merupakan salah sebuah negeri "hotspot", yang tidak mustahil boleh berlaku perubahan angin. Kerana itu beliau perlu berhati-hati.
Sebagaimana yang saya kemukakan di blog ini semalam, kenyataan Naib Ketua Pemuda parti tersebut S. Paranjothy kononnya telah menghiris hati Pemuda Umno khususnya sehingga mengakibatkan Ketuanya Hishamuddin Tun Hussien bangkit melenting.

Dr Koh mengadakan sidang akhbar khas hari ini untuk menjelaskan keadaan. Beliau kelihatan mahu menunjukkan ketegasan kepimpinan beliau tetapi dalam waktu yang sama berusaha juga memelihara imej beliau dan partinya itu. Beliau menyatakan yang Paranjothy akan dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib parti dan jika didapati beliau bersalah boleh digantung atau dipecat dari parti. Walaubagaimanapun dalam waktu yang sama Dr Koh menyatakan ketidakpuasan hatinya terhadap reaksi Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Hishamuddin Tun Hussien semalam yang kononnya mendesak Gerakan mengambil tindakan terhadap Paranjothy ataupun Pemuda Umno dan BN akan memutuskan hubungan dengan Gerakan.

Kata Dr Koh kenyataan Hishamuddin itu berbau ugutan dan beliau tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan seumpama itu.

Perkembangan terbaru ini jelas membuktikan yang hubungan sesama parti komponan dalam BN sekarang ini genting dan tidak lagi mesra seperti dahulu.

Gerakan kini sedang menghadapi asakkan teruk khasnya di Pulau Pinang. Sentimen pengundi bukan Melayu yang tidak berpuas hati dengan kos hidup yang semakin kalut di bawah BN begitu menebal sekali. Ini ditambah pula dengan pandangan negatif yang diberi oleh Tun Daim. Tiba-tiba Pemuda Umno (yang memang buruk rekodnya dikalangan masyarakat bukan Melayu) mengambil kesempatan memukul pula Gerakan atas kes Paranjothy ini.

Saya pasti aksi kurang waras Pemuda Umno ini sebenarnya akan lebih mengeruhkan suasana. Paranjothy, apa pun tindakan yang bakal diambil terhadapnya kini secara otomatis sudah dijulang sebagai wira. Beliau berani menegur dan mengkritik Pemuda Umno yang memang dianggap "kacang hantu" oleh sesetengah masyarakat bukan Melayu, lalu kerana itu beliau kini mahu digantung dan mungkin juga dipecat. Pemuda Umno telah menobatkan Paranjothy sebagai wira, kalau dipecat saya pasti Paranjothy dengan mudah boleh diterima samada oleh DAP atau parti pembangkang yang lain.

Apa pun perkembangan ini menunjukkan sikap otokrat Pemuda Umno dan bengisnya mereka dalam hubungan sesama rakan komponan BN. Bagi saya apa yang Paranjothy anggap sebagai "Discrimination from womb to tomb" itu memang benar wujud dan diamalkan dalam BN dulu, kini dan selamanya, jika tidak masakan ianya diungkit dan diperkatakan.

No comments: