Friday, January 11, 2008

Bersatu mempertahankan demokrasi

Saya menerima email dari seorang hamba Allah yang bertanyakan, apakah mungkin kepincangan dan ketempangan SPR nanti bakal merompak peluang PAS dan BA untuk menang dalam Pilihan Raya Umum ke 12 nanti? Mungkinkah berulang penipuan dan kehadiran ratusan pengundi hantu sebagaimana pilihan raya 2004 lalu dan akhirnya harapan kita untuk menyelamatkan rakyat dan negara akan sia-sia sahaja? (Terima kasih kepada pengirim)

Demikianlah prihatin dan bimbangnya hamba Allah itu. Saya sendiri secara peribadi juga risau dalam pada kita merasakan kehangatan bahang pilihan raya umum yang sudah semakin dekat rasanya.

Sesungguhnya perjuangan BERSIH untuk menuntut pilihan raya yang bersih dan adil akan diteruskan. Desakkan agar pemantau antarabangsa turut dijemput untuk memantau pilihan raya umum nanti akan terus dibuat. Dalam pada itu kita semua samada berparti ataupun tidak, asalkan sahaja kita idamkan sebuah demokrasi yang tulin dan adil perlu bekerja dan memainkan peranan kita.

Pilihan Raya adalah suatu kerja yang serius, ia merupakan medan dan gelanggang bagi rakyat membuat pilihan. Oleh itu jika ada mana-mana usaha untuk menipu dan memanipulasinya maka kita samada secara berkumpulan atau individu perlu bangkit dan menyuarakan bantahan. Ini mesti kita lakukan samada sebelum pilihan raya (seperti sekarang), setelah parlimen dibubarkan, semasa kempen pilihan raya dan semasa hari mengundi.

50 tahun Merdeka seharusnya mendewasakan kita dalam menyedari dan mengisnafi bahawa negara Malaysia yang kukuh dan stabil hanya dapat berdiri apabila tunjang-tunjang demokrasinya beroperasi dengan telus dan bersih tanpa sebarang penipuan, rasuah dan salah-guna kuasa. Pilihan Raya adalah pesta demokrasi dimana kuasa diberi pada tangan rakyat untuk menentukan nasib dan masa depan negara. Jangan kuasa itu diberi tetapi bersalutkan ancaman, sogokkan dan tekanan.

Selain tuntutan BERSIH dan pihak-pihak dalam dan luar negara, kita sebagai rakyat Malaysia semuanya seharusnya berperanan mempertahankan demokrasi kita dari ditempang dan dipincangkan oleh mereka yang tidak bertanggung-jawab.

Hanya GELOMBANG KEBANGKITAN RAKYAT sahaja yang mampu menghanyutkan ketempangan dan kepincangan yang kita bimbangkan itu. Oleh itu jadikanlah diri kita sebagai sebahagian dari gelombang besar itu, sama-sama kita bersatu dan berganding tangan atas keinsafan untuk meranap dan mengkuburkan ancaman terhadap demokrasi dalam negara kita. Kita mampu melakukannya jika kita besatu hati dan tekad, insyallah.

No comments: