Saturday, February 16, 2008

Bomoh dan pawang semakin laris

Satu laporan oleh RSN Murali dalam akhbar The Star hari ini saya rasa patut direnung dan dibaca oleh semua rakyat Malaysia khasnya kita yang bakal keluar mengundi pada 8 Mac nanti. Artikelnya bertajuk:

Politician who seek help from “higher powers”

Ianya mengisahkan darihal usaha pihak-pihak tertentu dalam parti tertentu untuk melobi bagi menjadi calon partinya dalam PRU akan datang ini. Rupanya selain melobi cara konvensional, dengan menjual nama dan menggunakan kabel dan pelbagai, bakal-bakal calon parti berkenaan dilaporkan turut menggunakan khidmat bomoh, pawang dan dukun. Malah ia melaporkan bahawa seorang bomoh terkenal di Setiu, Terengganu kini merungut bahawa khidmat beliau semakin kurang dilanggan kerana rupanya bakal-bakal calon itu kini lebih yakin kepada bomoh dan pawang “luar” yang khabarnya boleh memberikan tangkal dan ramuan yang lebih kuat dan berkesan.

Khabarnya bomoh-bomoh “luar” itu sehingga memberikan satu jenis ramuan yang perlu dilumurkan di pipi penggunanya sebelum pergi berjumpa dengan ketua-ketua partinya bagi tujuan melobi.

Sesungguhnya perangai dan tabiat begini tidak asing dalam sebuah parti Melayu yang terbesar dalam negara kita. Bagaimana kita mahu lupa darihal seorang bekas ADUN parti berkenaan yang dikerat 18 tubuhnya semata-mata kerana mahu kebal dan berkuasa, beliau ketika itu terlibat dalam pemilihan dalam partinya. Begitu juga seorang bekas Spekaer DUN yang ditembak dengan cara pembunuhan “ritual” ditengah malam kerana kononnya beliau kebal. Beliau dibunuh kerana beliau menghalang kenaikkan seorang pemimpin dari parti yang sama.

Lalu kita tahulah parti mana yang cenderong menggunakan khidmat tahyul dan syirik ini semata-mata untuk menjadi calon demi mengejar kuasa. Ketika inilah bomoh dan pawang di Kepulauan Jawa, di Negara Thai di perkampungan orang asli tengah hutan, laris dan laku.

Dalam pada parti berkenaan sibuk menjaja gagasan fahaman Islam Hadhari kecerok kampong dan pekan, rupanya senyap-senyap pemimpin-pemimpin partinya yang mahu melobi menjadi calon, sedang sibuk menggunakan khidmat kuasa ghaib yang ternyata bertentangan dengan Islam.

No comments: