Tuesday, February 19, 2008

Kalau bukan “orang hutan”, apa?

Halusnya budi-pekerti dan lenggok gaya pimpinan Umno yang ditemuramah TV3 semalam. Mereka masing-masing kecewa dan sedih berikutan kenyataan Mursyidul Am PAS Tuan Guru Dato Nik Abd Aziz Nik Mat yang menyamakan mereka bagai “orang hutan yang tidak tahu undang-undang”.

Pada dasarnya bahasa yang digunakan oleh Tok Guru itu kasar bunyinya, malah ada kalangan penyokong pembangkang pun turut merasakan ia begitu.

Bagi yang menyokong, yang memberi simpati apalagi yang memusuhi sudah pastilah kenyataan itu dilihat akan merugikan PAS dan pembangkang. Ia boleh dijadikan modal untuk Umno dan BN menyerang PAS dan pembangkang. Tetapi haruskah ianya begitu?

Memang nampak “damaging” kenyataan itu, tetapi mengapa perlu kita “apologetic” dan berpura-pura dalam keadaan memang musuh politik kita tidak pernah menghormati undang-undang yang mereka sendiri bikin. Konsep Federalisma yang sepatutnya mereka patuh apabila berkuasa diperingkat Pusat, tidak langsung mereka hormati. Mereka pinggirkan Kelantan, mereka rampas royalty petroleum dan kepong Terengganu bila PAS berkuasa dahulu, malaikatkah mereka?

Lihatlah dalam hal pilihan raya yang akan kita hadapi ini, seluruh saluran media perdana TV, radio dan akhbar, namakan apa sahaja, radio IKIM, ASTRO, Harian Metro, habis semua mereka jadikan perkakas untuk berkempen bagi memenangkan mereka dan memburukkkan parti-parti lain. SPR bukan lagi diperkudakan malah dilacurkan untuk memindah-mindahkan pengundi bagi keuntungan mereka (kes undi pos di DUN belantek sehingga hari ini tidak selesai). Lalu malaikatkah mereka?

Dalam keadaan mereka adalah “caretaker government” atau “kerajaan sementara” mereka terus memperalatkan jentera kerajaan untuk kepentingan mereka. Peruntukkan dan projek dijanji dan dilancarkan atas nama kerajaan BN, apakah dalam keadaan begitu mereka bagaikan malaikat?

Kata Tok Guru mereka laksana orang hutan yang tidak tahu undang-undang, dan saya terpaksa bersetuju kerana jika mereka tahu undang-undang mereka akan menghormatinya, tidak memperalatkannya untuk kepentingan politik mereka. Himpunan Rakyat yang aman mereka serbu dan leraikan dengan ganas kerana mengancam kedudukan politik mereka. Mereka memberi lessen kepada pihak berkuasa menggunakan kekerasan terhadap rakyat sendiri, jangan lupa di Batu Burok sehingga senjatapi ditalakan kea rah rakyat yang tidak berdosa, kalau bukan orang hutan, siapakah mereka?

Lihatlah perkembangan siasatan Suruhanjaya Di Raja dalam isu video VK Lingam, institusi kehakiman diperkosa oleh individu yang berkepentingan, mereka yang berkuasa boleh mengarahkan siasatan BPR ditutup dan BPR pula yang sepatutnya merupakan agensi pencegahan rasuah, menyuap pemberi maklumat! Kalau bukan orang hutan, siapakah yang buat kerja-kerja macam ini?!

Memang membahasakan orang alin dengan panggilan “orang hutan” itu kasar, tetapi kita tidak rasai apa yang Tok Guru rasai. Di Kelantan Umno membina kerajaan dalam kerajaan seolah-olah merendah dan tidak mengiktiraf mandate yang diberikan rakyat kepada kerajaan negeri sepanjang 18 tahun PAS memerintah. Tok Guru beliau biasa ditawarkan rasuah, tetapi menolaknya, lalu mereka hantar BPR menyiasat Tok Guru sedangkan dikalangan mereka yang bukan hanya ditawar malah hidup dengan rasuah, selesa, sihat dan bebas, jika bukan orang hutan manusia apakah mereka ini?

Rakyat Malaysia perlukan pemimpin yang menjamin keamanan dan keselamatan mereka, pemimpin yang jujur dan tidak bermuka-muka. Pemimpin yang pandai buat peraturan dan undang-undang tetapi dalam waktu yang sama mematuhi dan mentaatinya, dan tidak menjadi seprti orang hutan dirimba yang membelakangkan hal-hal seumpama ini.

Orang mungkin marah dengan kenyataan Tok Guru itu, tetapi redhakah mereka kepada hakikat ini?

No comments: