Monday, February 04, 2008

Masyarakat India sudah bersedia melakukan perubahan

Semalam parti kaum India yang terbesar dalam Negara, dan rakan karib Umno iaitu MIC telah mengumpulkan seluruh Pengerusi-pengerusi cawangannya seluruh Malaysia, iaitu seramai 3,700 orang untuk berhimpun di PWTC bagi menghadiri satu persidangan khas. Persidangan tersebut dirasmikan oleh Timbalan Presiden Umno Najib Tun Razak dan disertai oleh pimpinan kanan parti berkenaan termasuklah Presidennya Samy Vellu.

Ada seorang blogger kononnya meramalkan selepas majlis tersebut Samy dijangka mengumumkan perletakkan jawatannya dari kabinet dan akan digantikan oleh pemimpin baru untuk mengetuai parti berkenaan dalam pilihan raya umum nanti. Ternyata ramalan hanya tinggal ramalan. Samy hingga hari ini terus kekal menerajui MIC dan satu-satunya Menteri keturunan India dan dijangka terus mengetuai jentera MIC.

Dalam majlis berkenaan 7 isu utama telah dikenalpasti yang kononnya telah mengakibatkan ketidakpuasan hati dikalangan masyarakat India sejak kebelakangan ini. Antaranya termasuklah penyertaan kaum berkenaan dalam sektor ekuiti, membuka peluang untuk kaum berkenaan berkhidmat di sektor awam, peluang pendidikan yang lebih banyak di IPTA, mempertingkatkan jumlah pemberian biasiswa, memperkenalkan mekanisma lebih efektif bagi membasmi kemiskinan kaum berkenaan di kawasan bandar dan lain-lain.

Kata Samy kerajaan perlu serta-merta menangani isu ini.

Tetapi soalnya bukankah MIC merupakan rakan komponan Umno dalam BN dan sebelum ini Perikatan sejak Merdeka lagi iaitu lebih 50 tahun! Apakah sepanjang 50 tahun itu MIC tidak nampak perkara-perkara ini? Saya percaya hanya setelah HINDRAF berarak di tengah jalanraya tempoh hari, mendedahkan masalah peminggiran masyarakat India, barulah MIC dikejutkan dari tidurnya. Sebelum ini mereka sebagaimana Umno berpuas-hati dengan kuasa yang ada ditangan dan tidak menyangka masyarakat yang selama ini membuta berdiri di belakang mereka akan nanti mengkhianati mereka.

Masyarakat India sudah melihat kelemahan dan ketidak jujuran pemimpin mereka setelah mendapat kepercayaan selama lebih 50 tahun. Kini mereka sudah bangun dan menyatakan mereka mahukan perubahan. BN dan MIC sudah menghidu perubahan sentimen masyrakat India ini, kerana itu Samy, Najib dan lain-lain semuanya mula gelabah.

Jika sentimen kebencian terhadap Samy dan MIC ini berterusan, pengundi India walaupun minoriti di semua tempat namun pasti dapat melarikan undi dari BN dan ini sudah pastilah mengundang bala kepada BN. Bayangkan BN kehilangan 10 ke 15% undi di satu-satu kawasan oleh kerana perubahan angina pengundi India! Itu belum ditambah dengan “swing” pengundi Cina dan undi tradisional orang-orang Melayu yang mengudni pembangkang.

Mungkinkah angin perubahan yang dinanti-nanti itu sudah mula bertiup?

(Semalam saya dijemput berceramah di Sementa di Kapar, kawasan pekan. Dalam gerimis hujan malam itu ratusan pengundi India hadir dan secara terbuka menyatakan kesediaan mereka membawa perubahan kali ini, anda bagaimana?)

No comments: