Thursday, March 13, 2008

Mendepani politik baru Malaysia

Apa pun rakyat telah bersuara. Suka ataupun tidak keputusannya perlu diterima dengan hati terbuka bukan sekadar oleh mereka yang tewas malah lebih-lebih lagi dikalangan mereka yang berjaya termasuklah yang dapat pula membentuk kerajaan.

Malaysia kini melalui era politik baru, dimana dominasi Umno/BN (dan dulunya Perikatan) sejak Merdeka (kecuali di Kelantan) kini telah berjaya dipecahkan. Rakyat yang mahukan perubahan itu, ianya tidak dapat disekat atau dibendung, kerana sesungguhnya suara rakyat adalah kuasa penentu dalam sistem yang kita amalkan.

Negeri-negeri besar dan kaya di Pantai Barat seperti Perak, Selangor termasuklah Pulau Pinang kini tidak lagi berada dalam genggaman Umno/BN. Begitu juga di Kedah manakala di Kelantan usaha Umno/BN untuk menaikkan "bakal MB nya" kecundang.

Namun walaupun kita melalui era politik baru, struktur masyarakat tetap sama dan tidak berubah. Sebahagian besar orang Cina dan India telah beralih selera dengan menolak BN diikuti dengan sebahagian besar pengundi Melayu di kawasan-kawasan bandar selain di Kelantan dan Kedah. Namun demikian orang Melayu tetap orang Mealyu begitu juga Cina dan India tetap Cina dan India dalam negara tercinta bernama Malaysia ini.

Rakyat telah mengunakan kematangan dan kesedaran politik mereka untuk membuat perubahan walaupun memikul risiko, kini adakah parti-parti yang dimenangkan melalui perubahan ini sudah bersedia untuk memimpin rakyat?

Saya secara peribadai contohnya adalah seorang Melayu yang beragama Islam, BN atau BA tidak boleh mengubah hakikat itu. Saya mahu lihat pakatan baru ini memerintah dengan menamat dan mengikis segala kekotoran pentadbiran Umno/BN yang lalu. Tapi dalam waktu yang sama saya juga mahu pemimpin-pemimpin dalam pakatan ini turut menghormati struktur masyarakat yang sedia ada. Sensitiviti saya sebagai orang Melayu dan beragama Islam perlu dipelihara sebagaimana perlu juga kita memelihara sensitiviti masayarakat yang lain.

Pemimpin yang baik akan memahami ini dan tidak mudah terjerat sehingga membangkitkan kemarahan mana-mana kaum atau agama. Adat istiadat Melayu, Raja-raja Melayu, masjid dan surau serta pentadbiran agama Islam semuanya perlu dipelihara dengan baik, jangan disentuh atau dikritik kelak bakal mengundang kemarahan ramai. Begitu juga saya yakin tidak ada dikalangan masyarakat Melayu yang berminat mahu menganggu sekolah jenis kebangsaan Cina atau Tamil, rumah-rumah ibadat bukan Islam (kecuali kuil yang dirobohkan dizaman Umno/BN Selangor dahulu), adat istiadat dan kepercayaan bukan Melayu.

Era politik baru ini menutut toleransi dan hormat-menghormati antara satu sama lain. Kekuatan ini bakal memberi jalan kepada kestabilan dan masa depan yang baik buat semua, namun jika kita gagal, terlalu taksub dan ekstrim, kemenangan ini akan hanya menjadi sementara.

No comments: