Thursday, March 06, 2008

Roslan SMS “penjenayah”?

Di muka enam akhbar Utusan Malaysia hari ini terdapat berita bertajuk:

Laporan polis terhadap Roslan

Rupa-rupanya pihak polis Bukit Aman datang merekodkan kenyataan saya semalam adalah ekoran dari suatu laporan polis yang dibuat oleh pihak polis sendiri iaitu oleh Asisten Komisioner Mohd Hazam Abdul Halim, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kontigen Terengganu. Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu dan dibuat atas alasan kononnya kenyataan saya yang terbit dalam Berita Harian muka hadapan 4 Mac lalu bersifat “MENGHASUT” dan boleh membawa kepada kejadian yang tidak diingini.

Berikutan laporan tersebut Ketua Polis Negeri Terengganu sendiri Datuk Ayub Yaakob berkata:

Polis mendapati kenyatan seperti ini boleh menggalakkan pengikut-pengikut PAS bertindak diluar batasan undang-undang.

Ayub menambah bahawa PAS tidak sepatutnya bertindak sedemikian kerana mereka boleh mengemukakan aduan secara rasmi kepada SPR jika mempunyai bukti.

Tiba-tiba dalam sekelip mata saya sudah menjadi “PENJENAYAH” sehingga mengakibatkan Ketua JSJ Polis Negeri merasa begitu terganggu dan perlu membuat laporan polis untuk mendakwa saya.

Apakah jenayah saya?

Memang saya ada memberikan kenyataan kepada wartawan Berita Harian Azman Mahmood pada hari berkenaan, tetapi saya tidak pernah sekali-kali menyatakan seperti pada tajuk berita itu. Kalau ACP Mohd Hazam tahu darihal operasi pelaporan berita dalam akhbar beliau akan sedar bahawa tajuk-tajuk berita ditentukan oleh Pengarang atau Editor. Kalau editor mahu mensensasikan berita boleh sahaja ia cantas atau pulas sesuka hatinya.

Anehnya lagi kenapa dalam ramai-ramai rakyat Malaysia yang membaca Berita Harian, cuma ACP Mohd Hazam yang merasakan berita itu berbau hasutan? Kenapa lawan PAS iaitu Umno sendiri tak berasa apa-apa?

Ini mainan politik antara orang-orang politik, mengapa pihak ketiga mahu masuk campur? Beliau turut mencadangkan agar PAS jika tidak berpuas hati boleh kemuka aduan resmi ke SPR, ternyatalah orang dalam CID tidak tahu politik dan apa yang berlaku dalam dunia politik semasa. Beliau tidak tahu menahu pengalaman dan sejarah PAS dengan SPR lalu pandai-pandai mengemukakan cadangan.

Apa pun bagi saya, tajuk berita dalam Berita Harian itu berniat jahat terhadap PAS dan saya. Saya bukan penjenayah, penjenayah dan penipu adalah si editor Berita Harian.

(Tadi dalam sidang Sekretariat Media PRU12 PAS Pusat, dinyatakan bahawa PAS akan membuat laporan polis terhadap Berita Harian kerana menabur fitnah)

No comments: