Thursday, March 20, 2008

Umno menerima padah doa mereka yang pernah dizalimi

Saya mendapat panggilan dari Kota Bharu pagi tadi bahawa bekas Menteri Kewangan Umno
Tengku Razaleigh Hamzah dan bekas orang kuat Dollah yang baru melepaskan jawatannya sebagai Setiausaha Agung Umno, Radzi Sheikh Ahmad, diberikan sambutan meriah oleh orang-orang Umno di sana.

Dalam keadaan Dollah Badawi memimpin Umno keluar dari pilihan raya yang paling buruk dalam sejarah parti Melayu itu kini semakin ketara yang kepimpinan beliau semakin ditolak oleh kalangan orang-orangnya sendiri. Ku Li diyakini akan dapat menghimpunkan orang-orang yang pernah setia bersamanya dahulu (Radzi , Tengku Azlan, Zainal Abidin Zin dan lain-lain) kerana yang jelas bagi Umno, Ku Li sahajalah yang tinggal dengan rekod yang bersih walaupun usianya semakin lanjut. Selain itu mereka yang kecewa dan terpedaya dengan kepimpinan Dollah juga dijangka bertaut di bawah kemunculan Ku Li.

Umno sedang melalui zaman pancaroba. Masalahnya Dollah tidak mengemukakan sesuatu yang meyakinkan bagi memberikan suntikan penyelamat buat parti tersebut.

Ketua Penerangan dan Setiausaha Agung barunya, kedua-duanya adalah tokoh yang bermasalah namun Dollah pelihara dan kalungkan mereka dengan pangkat dan kedudukan. Mat Taib kini seorang yang bertaraf menteri penuh walaupun Umno Selangor menggugurkan namanya sebagai calon dalam pilihan raya baru-baru ini. Apabila Tengku Adnan tidak tersenarai dalam kabinet barunya, ramai berasa lega sekurangnya Dollah berani bertindak terhadap kroninya yang terbabit dalam kes video Lingam.

Tiba-tiba apabila mucul pula nama Tengku Adnan sebagai Setiausaha Agung baru menggantikan Radzi, jelas Dollah sudah kehilangan punca!

Umno di bawah Dollah kini berada dipersimpangan, ahli-ahli di akar umbi yang telah bosan dan sering tertipu kini meninjau-ninjau dan menjengok kerajaan baru pimpinan Barisan Rakyat. Ada yang sudah mendapatkan borang ahli PAS atau PKR dan ada yang sudah mula memohon membina cawangan.

Ketika inilah kita insaf dan semakin yakin bahawa sesungguhnya doa mereka yang teraniaya, doa mereka yang dizalimi, doa mereka yang tertipu dan ditindas, oleh pimpinan Umno dulu dan kini, kiranya telah diperkenankan oleh Allah swt. Doa keluarga tahanan ISA dari zaman Tunku sehingga Dollah termasuklah keluarga Almarhum Dr Burhanuddin dan rakan-rakan, doa mangsa di Lubuk Merbau, doa keluarga syuhada Memali, doa mereka yang dibelasah FRU dan pihak polis, doa setinggan yang diusir dari rumah mereka, doa mereka yang ditukarkan tempat bekerja kerana cenderung kepada pembangkang, doa mereka yang dipinggirkan kerana menyokong pembangkang, doa Dato Ser Anwar dan keluarga serta banyak lagi.

Ketika inilah pimpinan Umno perlu toleh ke belakang dan lihat angkara kerja dan perbuatan mereka sehingga memberi impak ke atas Umno hari ini.

No comments: