Sunday, May 25, 2008

PAS perlu belajar dari kesilapan Umno

Dalam suasana bergolak dan berkecamuk Umno terus meredah lautan luas, adakalanya menjunam ke dasar laut, adakalanya timbul dilambung ombak. Kalau bahteranya demikian, bayangkan anak-anak kapal yang duduk di dalamnya, pastinya lintang-pukang, berselerak, mabuk dan pening.

Bekas Presidennya bertindak keluar parti, untuk kekal bebas tidak berparti sehinggalah Presiden parti meletakkan jawatan. Tindakan ini dituruti kaum keluarganya (kecuali ahli Parlimen Jerlun) dan beberapa pengikut setia khasnya di Kedah. Sebelum itu bekas Naib Presiden, yang juga ahli Parlimen Gua Musang telah mengisytiharkan diri mahu merebut jawatan Presiden pada pemilihan parti hujung tahun ini. Beliau menyarankan agar bahagian-bahagian Umno mengadakan Mesyuarat Agung Luarbiasa untuk membincangkan prestasi Umno dalam PRU ke 12 lalu.

Dalam pada itu masing-masing sedang sibuk melobi untuk jawatan-jawatan tertentu dalam parti, paling popular adalah jawatan Naib Presiden dan Ketua Pergerakan Pemuda. Ketua Pergerakan Wanitanya (yang digugurkan dari kabinet baru Dollah) merungut bahawa tindakan Puteri Umno menawar diri dalam pertandingan Pergerakan Wanita menganggu kestabilan sayap kanan Umno itu.

Demikianlah Umno, laksana retak menunggu belah, mungkinkah mampu ia bertahan?
Sementara itu EXCO Pemudanya Mukhiz Mahathir, menuntut agar Presiden parti meletakkan jawatan. Tindakan beliau diselar oleh kalangan pimpinan Pemuda, namun ada juga yang tampil menyokong dan mempertahankan beliau.

Dalam suasana senak dan tenat itu, tiba-tiba muncul Nabib Presiden parti, Muhyuddi Yassin menyatakan bahawa:

Bukan budaya Umno untuk mengekang atau menghalang anggotanya daripada menyuarakan pendapat mereka atau mendesak pemimpin.UMNO ialah sebuah parti demokratik dan oleh itu semua anggotanya bebas menyatakan pendapat masing-masing.

Memang demokrasi dalam Umno kini dipertikaikan, antara yang awal menyatakan ianya sudah hampir mati adalah Tengku Razaleigh Hamzah sejak sebelum PRU ke 12 lalu. Dengan sistem kuota, dan kini usaha mengekang suara-suara yang menentang kepimpinan Dollah, ada yang boleh percaya bahawa Umno sememangnya bukan lagi sebuah parti yang mengamalkan demokrasi.

Untuk itu saya menyudahi posting ini bukannya dengan mengajak ahli dan pemimpin Umno yang sudah muak, bosan dan tidak percayakan parti itu agar bertindak keluar dan menyertai PAS ("that goes without saying") tetapi lebih penting lagi saya ingin mengajak semua yang khasnya berada di dalam PAS agar mengambil iktibar akan apa yang sedang dilalui seteru politik kita itu. Jangan kita pula nanti ulangi kesilapan dan kelemahan mereka.

PAS jangan mengekang ahlinya bersuara (mengikut saluran yang dibenarkan perlembagaan parti), PAS juga jangan halang sesiapa untuk mencabar mana-mana jawatan. atau mengkritik mana-mana pimpinan, dan lebih penting lagi kerana PAS berjuang untuk dan demi Islam, maka PAS perlu dengar suara dan rintihan ahli dan penyokong yang mahu mempertahankan dasar itu, jangan sesiapa cuba menghalang-halangnya, kelak kita nanti turut jatuh terperosok menimpa nasib yang sama sebagaimana Umno.

No comments: