Monday, November 17, 2008

Konvensyen Tarbiyah PAS Selangor

Sudah lama tidak berpeluang berkumpul dan berjumpa rakan-rakan seperjuangan dari Selangor. Ahad lepas sempena Konvensyen Tarbiyah Negeri, berpeluang juga bersapa dengan mereka yang sejauh Sabak Bernam, Tanjung Karang, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Sepang dan lain-lain.

Sesungguhnya himpunan sesama ahli jemaah berbeza dengan himpunan atau perjumpaan lain termasuklah sesama sanak-saudara sendiri. Ikatan ukhuwah sesama jemaah seperjuangan sebenarnya lebih erat dan hangat berbanding ikatan kekeluargaan.

Konvesnyen itu telah diserikan dengan kehadiran Dato Seri Tuan Guru Presiden dan Timbalan Presiden yang masing-masing membentangkan kertas kerja berhubung tarbiyah dengan ucapan penutup disampaikan oleh Dato’ Pesuruhjaya Selangor. Dewan Dato Fadzil Nor di Taman Melewar sarat dipenuhi dengan pimpinan pelbagai peringkat dari seluruh Selangor.

Bezanya kali ini kita berhimpun dalam keadaan memerintah Selangor melalui Pakatan Rakyat. Walaupun pimpinan dan penggeraknya orang yang sama, namun masing-masing kini dengan tugas, tanggungjawab dan amanah baru. Dari ahli parlimen, ADUN dan EXCO sehinggalah ahli-ahli majlis, ketua-ketua kampung dan ahli-ahli JKKK.

Berbeza sungguh apabila orang-orang PAS memegang jawatan dan kedudukan. Apabila berhimpun dan berkumpul tiadalah yang mereka bual dan ceritakan melainkan mengenai tugas dan amanah masing-masing. Kesusahan, kepayahan, bagaimana mahu memastikan hala tuju perjuangan dapat dipikul dan diterapkan melalui kedudukan yang ada, itulah yang dikisahkan. Mungkin sedikit aneh, kerana lazimnya bagi yang lain-lain masing-masing akan bertepuk-tampar, membanding-bandingkan peluang, projek, kemewahan dan apa sahaja yang lumayan. Tetapi oang-orang PAS tidak (mungkin ada juga tetapi kecil sangatlah bilangannya).

Berhimpunlah orang-orang yang ikhlas, yang berjuang bukan kerana upah dan nama tetapi berjuang kerana mahu menjunjung amanah Allah dan Rasul Nya saw. Bukannya mereka tidak ambil elaun, gaji dan imbuhan yang datang dengan amanah baru itu, mereka ambil juga (berlainan dengan Ketua Pembangkan DUN Pulau Pinang) tetapi yang lebih mereka pentingkan adalah untuk melaksanakan dasar dan prinsip perjuangan.

Itulah bezanya apabila kita mengangkat orang yang sanggup mati kerana agama, berbanding dengan mereka yang sanggup bermati-matian untuk harta dan kedudukan.

Dalam konvensyen berkenaan selain berpeluang merapatkan ukhuwah, masing-masing tekun menadah ilmu dan bimbingan dari pucuk pimpinan. Saya melihat wajah-wajah yang serius mengikuti arahan dan panduan yang diberikan oleh pimpinan tertinggi parti. Mereka masing-masing sedar dan insaf sebagaimana yang dinyatakan Tuan Guru Presiden: “Wawasan kita wawasan dunia dan akhirat”, oleh itu perjuangan jauh dan perlu dilalui dengan penuh tekun dan disiplin.

Mari kita terus istiqomah dalam perjuangan ini. Mudah-mudahan Allah swt mengurnikana kita kekuatan untuk terus menempa kejayaan di masa depan. Sama-samalah kita menjalankan amanah dan tanggungjawab baru ini dengan sebaik mungkin berdasarkan acuan kita.

1 comment:

Ku ingat Taqwa said...

Alhamdulillah, semoga konvensyen itu menyedarkan kembali tugas dan amanah yang Allah 'bebankan' kepada mereka. Jangan mereka lalai dengan amanah tersebut sehingga akhirnya kita di'aibkan' diatas kemenangan yg diberikan.